Pengikut

Khamis, 4 Ogos 2011

Pengusaha kek lapis guna mentega ada DNA babi ?

Pengusaha kek lapis Sarawak yang mengguna mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang disahkan mengandungi DNA babi, disaran memusnahkan stok mereka dan menyamak semua peralatan dan kelengkapan memasak sebelum menghasilkan semula kek berkenaan untuk dipasarkan.

Ia perlu dilakukan kerana ramai pengusaha menyediakan stok bernilai sehingga jutaan ringgit sejak tiga bulan lalu untuk menampung permintaan sambutan Aidilfitri. Kebanyakan daripada lebih 400 pengusaha kek lapis di Sarawak mengguna mentega itu kerana dikatakan menghasilkan kek lapis yang tahan lama serta mampu disimpan sehingga enam bulan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehawal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata; “Kita dimaklumkan memang ada pengusaha menyediakan stok bernilai jutaan ringgit sejak tiga atau empat bulan lalu, namun apa boleh buat. Ini adalah hukum dan mereka bersalah jika terus menjual kek lapis mengandungi DNA babi.

“Bagi pengusaha yang mempunyai banyak simpanan mentega jenama itu, mereka boleh merujuk Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan bagi maklumat lanjut dan pada masa sama menukar mentega kepada jenama yang disahkan halal,” katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit memberi jaminan orang ramai tidak perlu bimbang status halal kek lapis Sarawak kerana semua 70 ahlinya sudah menghentikan penggunaan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter dan bertukar kepada jenama lain.

Rabiah bagaimanapun mengakui ramai pelanggan menghentikan tempahan sementara selepas isu itu dihebahkan menerusi media.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kek lapis di Sarawak halal kerana tidak menggunakan produk itu sejak setahun lalu. Pengguna yang ragu-ragu boleh meneliti sijil halal kami yang dikeluar JAIS,” katanya. -Penangdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan