Pengikut

Selasa, 12 Julai 2011

SUHAKAM sahkan polis guna kekerasan

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Sha’ani Abdullah mengencam kekerasan dilakukan polis semasa bertindak menangkap peserta Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan ia pencabulan hak asasi manusia. “Ini adalah isu yang besar, semua mangsa harus tampil ke depan dan kemukakan aduan secara terus supaya kita boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperoleh.

“Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya pada sesi dialog dengan Dewan Pemuda PAS pusat yang mengemukakan empat pelanggaran dilakukan pihak keselamatan pada Sabtu lalu.

Sha’ani yang turut memantau perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga merupakan satu pencabulan.

“Tahan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pulapol juga merupakan satu pencabulan, mereka (polis) telah merancang untuk tahan mereka, ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan.

“Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang,” katanya dengan nada kesal.

Tambah Sha’ani, beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0 sebagai “orang yang tiada pelajaran.”
“Pihak itu tidak berpelajaran, mereka pakai uniform, pakai lencana… mereka tiada hak untuk bertindak kasar terhadap sesiapapun.

“Kami mahu kerajaan memastikan institusi polis menjaga kelakuan petugas supaya menghormati sesiapa yang mereka tangani,” tegasnya.

Pada Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan.

Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu. -KL Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan