Pengikut

Jumaat, 22 Julai 2011

Polis mendahului laporan bedah siasat Baharudin

Polis tidak profesional dan subjudis terhadap punca kematian peserta Bersih 2.0, Baharuddin Ahmad sedangkan laporan bedah siasat ke atas Allahyarham masih belum dikeluarkan.

Peguam mewakili keluarga Allahyarham, Ahmad Jufliz Datuk Faiza juga berkata, sepatutnya hanya keluarga yang berhak mendedahkan kepada umum punca kematian tersebut.

“Sepatutnya hanya selepas siasatan selesai dan laporan bedah siasat dikeluarkan, barulah pihak polis boleh memberikan reaksi,” katanya.

Beliau memberikan reaksi berhubung kenyataan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid bahawa punca kematian Baharuddin mungkin disebabkan rawatan CPR yang diberikan pihak berkuasa.

“Siasatan masih belum selesai dan belum dikeluarkan dari Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) kerana kes ini tertakluk di bawah Kanun Prosedur Jenayah,” jelas Ahmad Jufliz.

Beliau turut mempersoalkan reaksi ‘tergesa-gesa’ polis terhadap isu punca kematian Allahyarham Baharuddin sehingga sanggup mengadakan sesi khas penerangan kepada media di Bukit Aman.

“Kita tak tahu sama ada keluarganya akan menuntut satu penyiasatan terbuka mahu pun inkues. Kenyataan polis yang mendahului laporan perubatan berbaur (kepentingan) politik,” jelasnya.

Dalam pada itu, peguam Sivarasa Rasiah berkata versi polis berhubung punca kematian Allahyarham tidak semestinya sah dan benar kerana saksi di tempat kejadian masih belum dikemukakan.

“Jadi, sepatutnya polis meneruskan siasatan dan tidak mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan polis tidak mengikut prosedur apabila melepaskan gas pemedih mata tepat ke arah orang ramai, termasuk di kawasan tertutup di KL Sentral.

Sebelum ini peguam, N Surendran berkata Baharudin turut mengalami kecederaan fizikal termasuk patah tulang rusuk, gigi dan luka di bibir.

Selain itu, turut didedahkan mengenai penggunaan gas pemedih mata jenis C560 CS, yang dikatakan sama digunakan tentera Israel yang boleh mengancam nyawa manusia. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan