Pengikut

Selasa, 19 Julai 2011

Penganut Kristian bimbang terhadap lawatan Najib ke Vatican?

Seramai 365 rakyat Malaysia penganut Katolik menulis surat kepada Ketua Gereja Katolik, Pope Benedict XVI menyatakan kegusaran mereka terhadap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Vatican 18 Julai lalu.

Surat itu disampaikan kepada wakil Pope Benedict di Singapura, delegasi Apostolik His Grace Archbishop Leopoldo Girelli.

Perkara itu didedahkan oleh penulis, Anil Netto dalam laman web Aliran.com semalam.

Ia menyampaikan rasa hati penganut Katolik yang risau kemungkinan kerajaan dan pemimpin asing terpengaruh dengan Najib yang ghairah menyebarkan mesej kesederhanaan di luar negara sedangkan kerajaan Najib sendiri berulang kali menggunakan kekerasan terhadap rakyat dalam negaranya.

Antara lain mereka menyebut tentang keganasan Najib menangani himpunan aman Bersih, manipulasi sentimen etnik dan keagamaan yang diamalkan Najib untuk kekal berkuasa, dan kekangan terhadap kebebasan beragama di Malaysia.

Mereka juga risau Najib akan menggunakan lawatan tersebut untuk meraih undi dan mengekalkan popularitinya di kalangan penganut Kristian di Sabah Sarawak.

“Kami risau jika terdapat agenda politik tersembunyi untuk memenangi sokongan pengundi Kristian di Sabah dan Sarawak bersempena lawatan Najib ke Vatican ini.

“Akhir sekali, kami juga risau Najib cuba untuk mendekati Holy See pada masa ini untuk mendapatkan sokongan popular dalam pilihan raya umum akan datang yang bakal berlangsung menjelang awal 2013,” tulis mereka dalam surat itu.

Justeru, mereka meminta Pope Benedict agar berwaspada dalam berurusan dengan kerajaan pimpinan Najib

“Kami berdoa agar Holy See akan mempertimbangkan isu-isu yang kami nyatakan ini dan mendapat petunjuk dari Roh Kudus dalam berurusan dengan kerajaan Malaysia,” kata mereka.

Akhbar arus perdana hari ini menyiarkan berita hubungan diplomatik yang baru termeterai di antara Vatican dan kerajaan Malaysia selepas Najib bertemu Pope Benedict XVI di istana musim panasnya di Castel Gandolfo.

Lawatan itu dibuat Najib selepas beberapa minggu sebelumnya, Najib membuat kenyataan terbuka kononnya himpunan aman Bersih yang berlangsung 9 Julai lalu didalangi dan dibiayai gerakan Kristian luar negara.-KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan