“PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi blognya semalam.
“Begitu juga pendaftaran pemilih secara automatik,” kata Ahli Parlimen Marang ini sambil menambah, “kita pelik bagaimana SPR boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pengendalian biometrik ini, tetapi tidak boleh bekerjasama dalam mengendalikan pendaftaran pemilih secara automatik.”
Kedua-duanya merupakan antara isu yang menjadi tuntutan Bersih 2.0.
PKR juga melahirkan pendirian yang sama Ahad lalu.
Hadi juga menambah, sistem biometrik masih boleh dimanipulasikan oleh pihak yang mengendalikannya terutamanya pegawai yang bertugas di pusat mengundi.
“Cadangan SPR untuk menggunakan kaedah biometrik bagi menyelesaikan isu pengundi hantu dan pengundi bertindan bukan penyelesaian yang sebenar.
“Malah ia juga terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir yang ada kepakaran dan terlibat dalam mengendalikan sistem ini,” katanya.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi mengadakan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.
Dalam komennya kepada The Malaysian Insider kelmarin, badan pemantau pilihan raya tempatan Mafrel menegaskan sistem biometrik hanya boleh digunakan jika SPR dapat memberi jaminan berjaya menangani isu pengundi hantu sepenuhnya.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jika sistem biometrik masih gagal mengatasi isu pengundi hantu, amat tidak wajar SPR menggunakannya ketika pilihan raya ke-13.Ketika bercakap pada satu wacana di Shah Alam petang semalam, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, kajian mengenai sistem biometrik sudah berada di peringkat akhir tetapi SPR tidak dapat memberi jaminan sama ada ia boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13.
Spekulasi menyebut pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat selepas sambutan Aidilfitri awal September ini.Mandat semasa Parlimen hanya berakhir April 2013.
“Kita masih di peringkat kajian dan kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan kerana kita tak tahu bila Parlimen akan dibubarkan,” katanya.
Mengulas sistem biometrik yang mendapat tentangan Pakatan Rakyat yang tetap mahu dakwat kekal digunakan, Wan Ahmad berkata sistem itu akan menggunakan imbasan ibu jari tangan untuk mengesahkan identiti pengundi.
“Tiada seorang manusia pun yang mempunyai dua biometrik yang sama… apabila aplikasi ini sudah siap, kita dengan rekod biometrik yang terdapat di JPN, kita boleh padankan dengan daftar pemilih kita.
“Kita merasakan sudah sampai masa sistem ini digunakan untuk membersihkan daftar pemilih,” katanya. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan