Pengikut

Ahad, 10 Julai 2011

Najib : "Umno adalah (parti) terbaik di dunia"

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja parti pimpinannya sudah bersedia.

Sehubungan itu, Presiden Umno meminta ahli-ahlinya agar bersatu padu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kita akan menunjukkan bahawa Umno adalah (parti) terbaik di dunia... Hidup Umno! Hidup Barisan Nasional! 1 Malaysia!” kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada program Majlis Penerangan Perdana Menteri di sini hari ini.

Majlis itu diadakan sehari selepas perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung di ibu negara.

Kira-kira 6,000 orang terdiri daripada ahli Umno, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil syarikat berkaitan kerajaan menghadiri program setengah hari ini, yang berkisar pada perkembangan semasa khususnya perhimpunan anjuran Bersih 2.0.

Pemerhati melihat pertemuan pagi ini digunakan untuk menyegarkan semangat ahli-ahli Umno menjelang pilihan raya umum ke-13.

Semalam, Bernama menafikan penghantaran teks pesanan kononnya mengenai pembubaran Parlimen esok.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata: “Kami kesal kerana beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengambil jalan keluar dengan menggunakan SMS untuk memanipulasi minda rakyat dengan matlamat mewujudkan keadaan huru-hara dan kekeliruan sambil merancang niat tersembunyi mereka.”

“Kami menggesa mereka yang telahpun menerima SMS kononnya mengaitkan Perdana Menteri dengan dakwaan pembubaran Parlimen Isnin ini (esok) supaya mengabaikannya sama sekali,” katanya.

Yong berkata Bernama akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebar SMS palsu dan melampau itu.

Spekulasi bahawa Najib akan memanggil pilihan raya umum ke-13 sudah lama kedengaran, tetapi ia terus meleset.

Yang terbaru menyebut ia akan diadakan bila-bila masa dalam tempoh setahun ini mengambil kira perkembangan semasa termasuk keputusan pilihan raya umum Sarawak April lalu.

Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuaratnya dua minggu lalu, tetapi difahamkan belum ada bayangan pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil dalam masa enam bulan ini.

BN mempunyai mandat sehingga April 2013. -The Malaysian Insider

p/s: Bukan parti terbaik di dunia tapi parti paling penakut di dunia...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan