Pengikut

Ahad, 10 Julai 2011

Najib buat himpunan politik pagi ini?

Menurut the Star, seramai hampir 6,000 orang membanjiri Dewan Merdeka pada pagi Ahad untuk menghadiri sesi khas bersama Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menjelaskan tentang beberapa isu terkini. Antara mereka yang hadir di Majlis Penerangan Perdana yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah pemimpin atasan cawangan dan wakil badan-badan bukan kerajaan Melayu.

Hadirin yang datang adalah begitu ramai sehingga kerusi yang disediakan ditambah bilangannya namun masih ramai yang dilihat terpaksa berdiri.

Malah keadaan dalam dewan agak sesak sehingga ramai yang tidak dapat masuk dan terpaksa mendengar ucapan Perdana Menteri dari luar dewan.

Sambutan terhadap ucapan Perdana Menteri dilihat sangat menggalakkan dengan orang ramai memberi respon semasa beliau menerangkan tentang beberapa isu termasuklah mengenai perhimpunan Bersih yang diadakan pada Sabtu dan beberapa isu politik.

Namun begitu, tinjauan wartawan KL-Today.com di sana pula mendapati jumlah yang hadir adalah kurang 1,000 orang.Namun tidak dinafikan bahawa yang ramai hadir adalah para pemimpin Melayu UMNO dan tidak pula dilihat pemimpin-pemimpin 1Malaysia lain dari bangsa Cina dan India.

Najib dilihat marah dengan himpunan Bersih kerana melaung-laungkan perkataan Reformasi yang didakwanya tidak menepati hasrat awal Bersih untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan ketelusan pilihanraya.

Najib juga menuduh media-media alternatif dan massa milik luar negara sengaja menaik-naikkan angka puluhan ribu yang hadir Bersih sedangkan kiraan polis mendakwa jumlah yang turun Bersih hanya 6000 orang.

Najib semalam bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di sebelah petangnya tidak berada di Lembah Klang tetapi di Kuala Terengganu untuk menghadiri program berunsur politik iaitu program sukan isteri-isteri pemimpin BN manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hanya berada di Kuala Lumpur lewat petang selepas pulang dari Pulau Pinang menerima anugerah kehormat sempena Hari Kelahiran Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang.

-KL Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan