Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan membayangkan kemungkinan pilihan raya umum diadakan lebih awal sekalipun Perdana Menteri tidak secara khusus memberi isyarat demikian semasa pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah.
"Saya rasa jangkaan rakyat (untuk pilihan raya awal) adalah tinggi," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini.
Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata demikian ketika diminta mengulas mesej Datuk Seri Najib Tun Razak kepada para pemimpin BN negeri.
Ditanya sama ada lawatan ke Sabah ini yang terakhir buat Najib sebelum pilihan raya umum itu, beliau berkata: "Sebenarnya, Perdana Menteri telah mengemukakan soalan ini kepada dirinya sendiri...beliau kata mungkin ya atau mungkin tidak...tahun depan juga mungkin dan penghujung tahun ini masih juga mungkin".
Bagaimanapun, Pairin menjelaskan di bawah peruntukan undang-undang adalah menjadi prerogatif Perdana Menteri menentukan bila pilihan raya hendak diadakan.
-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan