Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Pemuda Pas menganggap kartun dalam cetakan Utusan Malaysia bertarikh 15 Jun itu bukan sekadar memberi persepsi buruk kepada pembaca, malah menghina hukum Islam yang jelas termaktub di dalam Al-Quran.
“Kartun bertajuk ‘kekeliruan kes rogol’ tersebut berniat jahat dan memberi imej negatif terhadap agama Islam.
“Karikator ini dilihat berniat memburukkan Islam apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan,” kata Setiausahanya, Khairul Faizi bin Ahmad Kamil.
Menurut Khairul, kartun tersebut juga menggambarkan kolotnya Islam dengan memaparkan imej seorang lelaki berjubah dan berserban menyelesaikan kes rogol, sekaligus menghina seluruh umat Islam.
Ia katanya, cuba mengelirukan umat Islam dengan memperlihatkan hukum zina secara permukaan sedangkan hukum itu mempunyai perincian.
“Ini menunjukkan wajah sebenar Utusan Malaysia yang dipelopori oleh UMNO, yang sebenarnya bersikap memusuhi Umat Islam dan menyelinap di sebalik topeng Melayu-Islam.
“Ia juga menunjukkan UMNO sebenarnya tunduk dengan kemahuan MCA yang jelas menolak hukum-hukum Islam.
Justeru itu, katanya, Dewan Pemuda PAS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas sekiranya Utusan Malaysia tidak menarik balik kartun berkenaan dan meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam seluruhnya kerana telah mencalar kemuliaan Islam.
Semalam, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan pelukis kartun bertajuk ‘Kekeliruan Kes Rogol’ yang disiarkan akhbar itu diheret ke mahkamah kerana menghina Islam.
“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam,” kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan.
Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam tidak harus dibiarkan.
Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.
-KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan