Pengikut

Ahad, 12 Jun 2011

Pemilihan jawatankuasa Masjid biar kariah dan MAINPP tentukan

DAP tidak terlibat dalam mempengaruhi Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengenai pemilihan jawatankuasa kariah masjid sepertimana yang hangat diperkatakan, tegas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, tohmahan yang dibuat UMNO mengenai isu itu agak keterlaluan kerana tidak menghormati MAINPP.

Menurutnya, MAINPP hanya cuba melakukan pendekatan baru dengan memberi hak pemilihan calon dilakukan anak kariah masjid yang mana ia belum pernah dilakukan sebelum ini. Bukannya, mahu memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

“Tuduhan yang mengatakan DAP campur tangan dalam pemilihan ini adalah sesuatu yang keterlaluan. Pendekatan ini adalah hasil inisiatif PR melalui MAINPP yang mana ia dipersetujui 15 ahli majlisnya. Tiada kena mengena dengan isu DAP mempengaruhi mereka.

“Tidak masuk akal apabila isu ini dibangkitkan. Kita kena ingat, kariah hanya membantu MAINPP memutuskan siapa yang mereka mahu untuk mentadbir kariah, tetapi yang akan menentukannya adalah MAINPP sendiri. Dan, selepas itu senarai calon berkenaan akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Baginda yang akan meluluskannya sebelum perlantikan dibuat,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Justeru, beliau meminta supaya UMNO berhenti daripada membuat tohmahan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam sekali gus memecahkan perpaduan umat di negeri ini.

Ia kerana, beliau yakin kandungan kaedah tatacara pemilihan yang diluluskan MAINPP itu, mengikut peruntukan enakmen sedia ada akan memberikan pendekatan baru terhadap perlantikan yang bakal dibuat, seterusnya memberi suara kepada ahli kariah untuk memilih calon mereka sendiri.

Dan, pada masa sama katanya, tidak menceroboh hak pentadbiran agama Islam Pulau Pinang.

Beliau dalam pada itu memberitahu, pendekatan itu dibuat untuk memberikan keseimbangan, demokrasi dan ketelusan yang mana ia memberi hak kepada kariah untuk mengundi dan keputusan akhirnya dibuat MAINPP dan ia jelas berbeza dengan apa yang dibuat sebelumnya.

“Kesemua 15 jawatan yang kosong akan diisi oleh calon-calon yang dipilih kariah berdasarkan undi dan dua daripadanya perlu diisi oleh calon wanita sepertimana yang tertakluk dalam kuota.

“Empat orang petugas dari Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) akan memantau sepanjang tempoh pemilihan ini bagi memastikan ia mengikut enakmen sepertimana yang tercatat dalam tatacara pemilihan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai bahayanya jika UMNO yang berjaya dalam pemilihan itu, Mujahid berkata, persoalan sama ada UMNO atau Pas yang akan mengambil alih urusan pentadbiran masjid itu bukan menjadi isu, sebaliknya matlamat sebenar adalah mahu menetapkan satu sistem yang betul.

Dan, kariah perlu menghormati apa jua keputusan yang diperoleh kerana ia dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada mereka.

Beliau turut berharap supaya prosedur itu dapat diteruskan meskipun suatu hari nanti PR tidak lagi memerintah negeri ini.

-SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan