Pengikut

Sabtu, 25 Jun 2011

Kes Datuk T Disusun Sebagai Sandiwara Untuk Fitnahkan Anwar

Perbicaraan Datuk T semalam adalah sandiwara yang disusun untuk terus menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata peguam Yusmadi Yusoff.

Yusmadi yang juga ahli parlimen Balik Pulau khususnya mempersoalkan maklumat “luar biasa” yang diperolehi oleh peguambela Shafee Abdullah daripada kertas siasatan polis untuk mengaibkan Anwar di dalam dan di luar mahkamah.

Selepas melontar pelbagai tuduhan terhadap Anwar di dalam mahkamah semalam, pendakwaraya dan Shafee menutup peluang untuk Ketua Pembangkang itu membela diri apabila gandingan Datuk T mengaku bersalah menayangkan video lucah pada 21 Mac lalu.

Rahim, bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim dan Eskay Abdullah membayar denda berjumlah RM5,500 sahaja, justeru enggan dibicarakan bagi mengelak daripada memberi ruang kepada Anwar untuk tampil di mahkamah memberi keterangan.

" Hal ini memberi gambaran langsung bahawa pihak-pihak yang terlibat ini mempunyai motif yang jahat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka bukan berniat untuk mencari keadilan sebenarnya. Mereka menggunakan ruang keadilan mahkamah untuk satu perkara yang jahat,"kata Yusmadi kepada Tv Selangor.

Shafee semalam mendakwa Anwar telah membuat laporan polis palsu untuk menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan oleh
trio Datuk T pada 21 Mac lalu.

Sehari sebelum perbicaraan itu, Anwar meramalkan gandingan Datuk T akan mengaku salah dan dilepaskan dengan denda ringan semata-mata untuk menghalalkan tindakan mereka melontar fitnah terhadap beliau.

Ketua Pembangkang itu menegaskan beliau bukan pelaku dalam video seks fitnah berdurasi 21 minit itu. Pejabat Parti Keadilan Rakyat menerbitkan sebuah dokumentari yang memerinci pelbagai kecacatan dalam video itu dan motif Datuk T menerbitkannya.

Anwar yakin pemimpin utama negara bersekongkol dengan menteri, Peguam Negara dan dibantu oleh trio Datuk T untuk terus menyerang keperibadian beliau.

Hasrat itu semalam turut dibantu oleh peguam Rahim, Datuk Shafee Abdullah yang begitu terkenal dalam kes-kes kontroversi termasuk kes yang membabitkan kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Kali ini Shafee mendakwa dua professor daripada sebuah kolej di Amerika Syarikat memperakukan 99.99 peratus bahawa pelaku dalam video itu adalah Anwar.

Menurut Yusmadi, pendedahan terbaru yang dibuat oleh Shafee semalam, hakikatnya menjelaskan kemungkinan berlakunya kebocoran kertas siasatan yang sepatutnya dalam simpanan rapi polis.

" Kenyataan peguam Rahim Thamby Chik, Datuk Shafee Abdullah menggambarkan seolah-olah beliau mempunyai akses penuh terhadap kertas siasatan oleh pihak polis kerana beliau dengan yakin menceritakan butiran kertas siasatan.

" Sepanjang ingatan saya, hatta Ketua Polis Negara tidak pernah memberikan maklumat yang terperinci. Siapa, berapa peratus tetapi beliau mempunyai maklumat yang luar biasa,"tambah Yusmadi lagi.

Selain itu, Shafee juga semalam turut mendedahkan hasil laporan kajian berkenaan kepada media, namun enggan membenarkan salinan dokumen itu diambil.

Portal Malaysiakini semalam melaporkan, walaupun didakwa oleh Shafee bahawa pakar berkenaan menyatakan mereka yakin 99 peratus lelaki dalam rakaman itu adalah Anwar, namun dokumen yang ditunjukkan tidak mengandungi maklumat tersebut.

" Saya tidak terkejut. Apabila tertuduh dilihat begitu yakin walaupun dihadapkan ke mahkamah kerana kalau benar kertas siasatan itu telah bocor dan dimiliki oleh mereka yang punya kepentingan, maka ia secara tidak langsung memberi keraguan terhadap siasatan yang dilakukan oleh pihak polis,"kata Yusmadi.

-RM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan