Pengikut

Jumaat, 3 Jun 2011

Fitnah: Menyemai angin, menuai badai

Fitnah boleh dianggap sebagai senjata yang paling tua pernah digunakan dalam peperangan. Ia mendahului senjata konvensional lain seperti pedang, lembing, senapang atau bom. Sebelum alat senjata dicipta, senjata yang bernama fitnah ini sudah digunakan secara meluas. Dalam setiap tamadun manusia, telah tercatat bagaimana fitnah digunakan sebagai senjata saraf paling berkesan dalam melemah dan menumpaskan musuh. Kesannya pula berpanjangan hingga ke beberapa generasi.

Melihat beberapa peristiwa yang berkaitan dengan fitnah dalam sejarah negara, amat jelas ianya membawa kepada kemudaratan yang sangat besar. Contohnya kes fitnah terhadap Tun Mutahir, Bendahara Sri Maharaja; bagaimana Sultan Mahmud mencemburui dan berdendam dengan bendahara kerana menikahkan anaknya Tun Fatimah yang jelita dengan Tun Ali.

Pada masa yang sama, akibat perebutan kuasa dan jawatan dalam kerajaan, Raja Mendaliar sebagai Datuk Shahbandar telah menfitnah Tun Mutahir dengan menuduhnya merancang untuk menderhaka dan merampas kuasa Sultan Mahmud. Raja Mendaliar mendakwa bendahara telah mengambil rasuah emas dari Nina Sura Dewana, seorang peniaga. Apabila fitnah ini sampai kepada Sultan, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, terus menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tun Mutahir dan seluruh ahli keluarganya termasuk menantunya Tun Ali. Maka Tun Fatimah diambil Sultan menjadi isterinya.

Tidak lama kemudian, apabila cerita sebenar terbongkar, semua pemfitnah dihukum bunuh. Tetapi nasi telah menjadi bubur. Krisis ini berlaku pada ketika Melaka sedang diancam oleh Portugis. Maka, bagai retak menanti belah, akhirnya kerajaan Melaka tumbang dengan mudah.

Beginilah bermulanya fitnah. Dari hal sekecil – cemburu menjadi dendam dan akhirnya hilang pertimbangan akal – seluruh negara berantakkan dan rosak. Punca kejatuhan empayar Melaka adalah fitnah, walau penjajah juga antara faktornya.
Barangkali, inilah yang cuba digambarkan oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, dalam satu wacana “Fitnah-ancaman umat akhir zaman” di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Beliau menjelaskan bahawa fitnah dalam konsep Islam lebih meluas maknanya. Dari segi bahasa Arab-Quran, fitnah digambarkan sebagai satu suasana kekacauan, keadaan yang kucar-kacir atau krisis.

Fitnah menghuru-harakan keharmonian kaum, bangsa dan negara. Hal ini dikaitkan dengan punca fitnah yang didorong oleh keinginan seseorang atau puak untuk memonopoli kuasa untuk menumpaskan lawan politiknya, malah unsur pengkhianatan dan rasuah menjadi elemen yang sangat penting terjadinya fitnah. Dr Asri turut menyatakan bahawa, membuka keaiban seseorang juga akan mendorong berlakunya fitnah kerana ia adalah salah satu dari perbuatan tercela dalam amalan budaya dan agama.

Kenyataan beliau ini adalah merujuk kepada sebuah hadis. Apabila ditanya orang kepada Rasulullah SAW tentang membuka aib seseorang, baginda bersabda: “Kalau sekiranya apa yang disebut itu benar, maka itulah ghibah (menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudara mu di belakangnya, yakni mengumpat), tetapi sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi).

Membuka keaiban juga sebahagian dari fitnah atau punca berlakunya fitnah. Dalam zaman moden ini, bangsa Malaysia khususnya dalam arena politik tanah air, juga tidak lepas dari elemen fitnah, malah ia terjadi sejak negara merdeka lagi. Asas dan objektif fitnah ini tetap sama seperti mana yang berlaku dalam sejarah.

Fitnah penglibatan dengan komunis terhadap A. Samad Ismail, Abdullah Majid, Abdullah Ahmad, Kassim Ahmad, Lim Kit Siang, Syed Husin Ali dan ramai lagi, tidak pernah dibuktikan dalam mana-mana mahkamah. Namun mereka semua ditahan tanpa bicara selama bertahun-tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tidakkah pelik, jika benar ada bukti mereka ini komunis, mengapa tidak didakwa di mahkamah? Namun perkara ini tidak berlaku sama sekali. Dan masa telah dibuktikan bahawa kesemua mereka yang telah ditangkap dan dipenjarakan, bukan lah pengganas atau ejen komunis. Ini mengesahkan lagi bahawa semuanya fitnah.

Dakwaan tentang konspirasi Negara Kristian, tuduhan cauvinis atau rasis juga adalah fitnah. Fitnah-fitnah ini tidak akan dapat menyubur kefahaman rakyat tentang demokrasi, sebaliknya hanya akan menyemai benih kebencian dan kerosakan pada kita semua. Fitnah yang dilemparkan juga akan membentuk persepsi yang akhirnya ia menjadi amalan budaya masyarakat.
Bangsa yang suka bermain dengan fitnah, adakah itu yang kita mahu? Seperti kata pepatah, jika kita menyemai angin, kita juga akan menuai badai dan berakhirlah cita-cita murni untuk hidup harmoni, aman dan tenteram yang selama ini kita impikan bersama.

Di sebaliknya semua ini, apa salahnya jika kita bersaing secara sihat dan terbuka, di atas pentas yang sama rata dengan semangat menghormati hak dan kebebasan individu. Semua ini akan mengangkat bangsa kita – masyarakat pelbagai kaum di Malaysia – sebagai bangsa yang berperikemanusiaan dan menghargai kemuliaan insan. Bukankah ini asas demokrasi?

-Roketkini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan