Pengikut

Sabtu, 7 Mei 2011

Utusan Berniat Jahat Cuba Lagakan Rakyat

Media Pro BN ( Utusan Malaysia) makin berani timbulkan isu-isu bangsa dan agama untuk mencetuskan ketegangan kaum di negara ini. Anda boleh baca kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan juga kenyataan Jeff Oii selaku penganjur majlis itu. -DP

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa DAP mahu menjadikan Kristian agama rasmi persekutuan sebagai permainan politik jahat dan sangat merbahaya.

Ini memang satu permainan politik yang jahat dan bahaya. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk dapatkan undi. Merekalah anasir yang yang paling jahat dan bahaya di Malaysia sekarang ini,” katanya.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan dakwaan kononnya Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menganjurkan satu pertemuan paderi Kristian yang membincangkan agenda menjadikan Kristian agama rasmi Persekutuan.

Menurut Guan Eng, laporan Utusan itu tidak berkredibiliti kerana ia bersifat spekulasi dan datangnya daripada sumber yang kabur dan tidak boleh dipercayai.

“Perkara ini siapa pun tak akan percaya tapi ia akan dipermainkan. Mereka tak ada bukti dan ia diambil dari blog. Blog mana dan individu mana yang membuat tuduhan itu tidak pula diambil peduli,” Lim Guan Eng dalam sidang media beliau pagi tadi.

Justeru, satu laporan polis akan dibuat DAP bagi mengekang perkara yang lebih buruk daripada berlaku.

Menurut Guan Eng lagi, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat DAP sejak dahulu sememangnya sentiasa mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Kita dah banyak kali tekankan Islam agama rasmi Malaysia. Kita tidak pernah pertikai perkara ini. Kita tidak pernah desak minta Malaysia jadi negara Kristian, negara Hindu atau pun apa-apa gama lain,” kata Guan Eng.

Pada masa yang sama, kata Guan Eng, Utusan tidak pula menyiarkan laporan yang akan memburukkan nama Barisan Nasional walau pun peristiwa yang berlaku itu menjejaskan keharmonian kaum dan beragama.

“Mereka tidak siarkan Gerakan menghentam kerajaan Pulau Pinang kerana kita bagi lebih peruntukan untuk hal ehwal Islam. Kalau dia adil, dia akan siarkan Gerakan hentam kerajaan negeri Pulau Pinang. Mintalah orang Cina buat demo depan pejabat Gerakan. Mereka tak akan buat,” kata Guan Eng.

Baca Kenyataan Jeff Oii di bawah:-

Utusan Sengaja Suburkan Sentimen Keagamaan Di Kalangan Rakyat

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan bahawa beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Jeff Ooi berkata, sebaliknya beliau melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh media kawalan Umno-BN dan blog pro Umno itu adalah tindakan sengaja parti itu untuk membangkitkan amarah rakyat.

"Tindakan dua blogger pro-Umno itu sengajadibuat bagi menghasut rakyat supaya membakar sentimen keagamaan dan kali ini sasarannya adalah komuniti Kristian."

"Apa yang dilontarkan sebagai dakwaan oleh kedua-dua blogger pro-UMNO dan juga Utusan Malaysia hanya rekaan palsu dan bertentangan dengan fahaman agama Islam sebab mereka melontarkan fitnah terhadap saya."

Semalam blog 'bigdog' mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.

Dakwa blog itu lagi, apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya kerana DAP membawa strategi politik cauvinis ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi.

Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.

"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.

Majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog hari ini iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.

"Saya menafikan saya sebagai seorang penganjur, yang kedua saya tidak mempunyai kuasa sebagai seorang Bugis untuk mengarahkan pihak Kristian untuk melakukan apa-apa yang didakwakan."

Tambahnya lagi, pihaknya hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah itu.

"Saya masih berfikir dan saya mahu lihat bagaimana Utusan memainkan perkara ini. Kalau ia berlaku seperti mana yang dimaksudkan maka saya akan buat laporan polis."


p/s:Rakyat semakin hari semakin muak dengan propaganda yang dimainkan oleh media BN ini, Ternyata mereka sanggup lakukan apa saja demi untuk kekal berkuasa dan kita sebagai Rakyat jangan mudah di perbodohkan oleh media dan pemimpin-pemimpin sebegini. - DP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan