Kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan semalam akan membebankan pengguna dan pengeluar kerana ia akan mengakibatkan harga barang naik.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, golongan berpendapatan rendah akan berasa kesan kenaikan tarif elektrik itu.
“Ini kerana kos pengeluaran oleh pengeluar akan meningkat, terutama di kilang yang menggunakan mesin berteknologi tinggi kerana mereka menggunakan elektrik melebihi 300 kilo wat sejam (kWj).
“Justeru, mereka terpaksa menanggung beban kos pengeluaran yang meningkat dan kemudiannya akan dipindahkan kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen kWj berkuat kuasa 1 Jun ini.
Baayah berkata, pekebun kecil, pengusaha kedai makan dan peruncit juga terpaksa menanggung kos yang tinggi kerana operasi perniagaan memerlukan penggunaan elektrik melebihi had yang ditetapkan.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Amir Baharuddin berkata, beliau khuatir kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan negara berdepan inflasi yang meningkat.
“Inflasi adalah isu yang serius hingga boleh menimbulkan krisis jika tidak dibendung.
“Ini kerana rakyat terpaksa menanggung beban apabila semua barang akan meningkat secara automatik selepas ini.
“Kerajaan tidak sepatutnya menaikkan tarif elektrik sekarang kerana kenaikan harga barang akan memberi tekanan kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu mengambil pendekatan tertentu, terutamanya pihak korporat, untuk mengawal inflasi.
“Kenaikan pada masa sekarang tidak wajar kerana sepatutnya ia seimbang dengan pendapatan rakyat agar mereka tidak berasa terbeban,” katanya.
-SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan