Satu lagi isu ialah MCA telah melakukan ‘brainstorming’ di antara pemimpin di peringkat kawasan dan tertinggi untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika MCA di tolak oleh pengundi khususnya dari pengundi kaum Cina dalam pilihanraya yang akan datang.
Kaum Cina nampaknya menjadi sasaran hebat dan gertak mengertak dilakukan ke atas kaum itu baik dari Pimpinan Melayu BN dan juga dari MCA sendiri. BN sedang memulas tangan kaum Cina kerana sokongan kaum itu terhadap BN sudah kian lemah. Dalam keadaan yang sama Umno masih lagi belum pulih dari perasaan rendah diri kerana takut ditinggalkan oleh kaum Melayu.
Keadaan meruncing ini merupakan yang paling menyakitkan BN, malahan keadaan ini mungkin bertambah rumit lagi jika dibandingkan dari zaman Abdullah Badawi. ‘Intuition’ yang ada pada diri saya dengan jelas memberikan bayangan yang kali ini BN akan menghadapi keadaan yang jauh lebih rumit untuk mengekalkan kuasa dari pilihanraya 2008 yang lalu.
Jika semasa pilihanraya dahulu gegaran terhadap BN hanya berlaku di Semenanjung tetapi kali ini undi popular BN di Malaysia timur telah jatuh dengan begitu besar sehinggakan negeri Sarawak sudah pasti tidak lagi kekal sebagai ‘fixed deposit’ bagi BN lagi. Dalam pada itu BN perpaduan BN di Sabah sudah menunjukan berlakunya pergolakan apabila parti LDP menuntut supaya BN di negeri itu tidak lagi diketuai oleh Umno Sabah.
Apabila LDP membuat kenyataan itu Ahli-ahli DUN Sabah dengan tergesa-gesa telah membuat kenyataan untuk menyokong Musa Aman sebagai Ketua Menteri tanpa berbelah bagi. Tindakan ini merupakan satu lagi petanda yang BN khususnya Umno di Sabah sudah sampai ke persimpangan.
Jika keadaan ini tidak terkawal maka Sabah juga tidak akan lagi menjadi simpanan tetap bagi BN pada masa yang terdekat ini. Susah untuk mencari alasan bagi menafikan keadaan ini.
Berbalik kepada ugutan Najib terhadap orang Cina, ianya merupakan tindakan yang membazir. Ianya membazir kerana dengan ugutan itu ianya menunjukan yang pemimpin kita sudah berada di dalam keadaan panik setelah tidak berjaya memujuk kaum Cina untuk menyokong BN melaui MCA di Semenanjung dan SUPP dari Sarawak. Jika seseorang pemimpin masih mempunyai keyakinan pada diri dan partinya sendiri, kenyataan yang berelimenkan ugutan tidak mungkin timbul.
Dalam nafas yang sama Najib telah meminta supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana pada pandangan PM Najib PAS tidak ada apa-apa keuntungan berada di dalam gugusan PR itu. Najib sudah sedar yang Melayu sendiri mempunyai parti alternatinya iaitu PAS seperti bangsa Cina mempunyai alternatifnya, DAP.
Dua bangsa terbesar di negara ini, Melayu dan Cina yang selama ini telah bersatu di dalam BN, sekarang ini sudah ada kecenderungan kedua-dua kaum terbesar ini untuk bersatu di luar BN. Isu yang diharapkan oleh BN untuk membantunya mendapat sokongan dari rakyat seperti isu sodomy Anwar dan video seks juga yang melibatkan Anwar telah gagal untuk dimunafaatkan oleh BN kerana keraguan rakyat terhadap BN lebih besar dari isu yang dipalitkan terhadap Anwar.
Malahan isu-isu itu telah menjadi ‘counter productive’ kepada BN pula.
Politik seperti juga ilmu matematik mempunyai formula yang jelas untuk diikuti supaya mendapat jawapan yang tepat. Formula kekuatan politik di negara ini khusunya di Semenanjung bergantung kepada dua kaum terbesar iaitu Melayu dan Cina. Jika kedua kaum terbesar ini bersatu di bawah BN maka BN lah yang akan meraih kuasa dari rakyat. Jika kedua-dua kaum ini memilih untuk bersatu di luar BN maka jawapannya mudah untuk diketahui umum, tidak payah untuk disebut dan dinyanyikan.
Inilah yang menyebabkan Najib bertindak mengugut dan menekan kaum Cina supaya memberikan sokongan kepada BN. Tidak mungkin pemimpin nombor satu akan melakukan ugutan jika keadaan masih memihak kepadanya.
Sebagai seorang pemimpin yang paling tinggi tentunya beliau akan melakukan kempen secara beretika dan 'civil' serta lebih demokratik. BN patut sedar yang kaum Cina telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi selama ini dan kecenderungan mereka untuk memberikan kepada pihak alternatif hanya berlaku sejak beberapa tahun dahulu sahaja. DAN berlakunya keadaan ini mesti bersebab yang datangnya dari pihak kita.
Tetapi oleh kerana segala cara telah dilakukan tetapi kaum Cina masih tidak menyokongnya maka adalah natural bagi PM Najib mengugut kaum itu sebagai kaedah yang sudah tidak dapat dielakkan lagi. Ugutan merupakan kaedah yang terakhir untuk mengekalkan kuasa mentadbir negara.
Dengan ugutan ini ianya secara automatiknya melenyapkan persepsi yang cuba ditanam oleh BN yang DAP itu sebuah parti yang rasis kerana yang rasis sebenarnya ialah BN yang diketuai oleh Umno.
Pandangan ini tidak akan saya tulis jika saya tidak yakin tentang kebenaran situasi yang telah saya gambarkan tadi. Pandangan yang saya utarakan ini sebenarnya juga adalah pandangan sesetengah pemimpin Umno walaupun di dalam terang mereka mempertahankan Umno itu.
Mungkin pandangan saya ini merupakan pandangan yang salah tetapi dalam keadaan apa sekali pun saya tetap mempertahankan ramalan saya ini akan menjadi kenyataan
-NORAH WINNIE MANSOOR/ Sabahkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan