Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berpendirian bahawa situasi politik di Malaysia sememangnya berada dalam keadaan yang sangat bercelaru. Oleh kerana terlalu memburu kuasa politik yang dominan, pemain politik dalam negara sanggup menggunakan apa sahaja cara demi mencapai matlamat politik biarpun cara tersebut amat bercanggah dengan nlai yang digariskan oleh Islam.
PMIUM tegaskan bahawa Mahasiswa menolak sebarang budaya politik samada yang berlaku di peringkat nasional mahupun dalam universiti, yang mana budaya tersebut bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menyebabkan salah faham masyarakat terhadap ajaran Islam.
Oleh itu pada hari ini PMIUM bersama dengan Solidariti Mahasiswa Malaysia akan menyerahkan memorandum menuntut pendirian rasmi Jawatankuasa fatwa Kebangsaan berhubung isu politik dedah aib ini. Tuntutan ini dibuat atas dasar mahasiswa menyedari bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memiliki kuasa untuk mengadakan Sidang Panel Kajian Syariah bagi membincangkan isu yang dikemukakan oleh masyarakat.
PMIUM juga menyokong penuh pelancaran Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat yang diumum oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) baru-baru ini. Penghantaran memorandum ini juga adalah salah satu daripada agenda Gerakan Mahasiswa Selamatkan rakyat yang akan diteruskan lagi dengan beberapa agenda yang telah disusun.
FAKTOR PENDESAK MEMORANDUM.
1. Politik Aib : Bercanggah Dengan Ajaran Islam
Amalan politik aib sememangnya bercanggah dengan ajaran agama Islam yang sentiasa merukuni adab dan nilai seperti mana yang telah digariskan dalam Al Quran. Mahasiswa suka memetik pandangan Syekh Dr Yusuf Al Qaradawi berhubung kaedah Islam yang melarang budaya mendedahkan aib.
"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya".
2. Politik Lucah : Lambang Pemimpin Lemah Integriti
PMIUM tidak melihat isu video seks sebagai isu tunggal yang perlu diberi perhatian, namun Mahasiswa lebih suka untuk menilai isu yang berlaku adalah hasil daripada pemain politik yang kotor lantas menghasil budaya pemerintahan yang bobrok. PMIUM beranggapan tidak perlu diragui lagi betapa rosaknya integriti seorang pemimpin yang sanggup mendendangkan politik murah demi menjatuhkan pesaing politik. Sudah pasti sistem pemerintahan negara akan semakin tempang jika pemimpin yang tidak berintegriti ini terus dibenarkan untuk menduduki kerusi pentadbiran. Oleh itu PMIUM menyarankan agar pihak kerajaan segera melakukan pemutihan dalam kerusi pentadbiran negara agar suasana politik Malaysia kembali berteraskan nilai dan peradaban.
3. Isu Video Seks : Lenturan pendidikan politik songsang
PMIUM bersetuju dengan kenyataan ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin yang disiarkan dalam beberapa akhbar utama baru baru ini yang menunjukkan kerisauan beliau terhadap kondisi politik negara yang semakin bercelaru dengan budaya politik lucah. Belum pun isu video intim Chua Soi Lek reda dari pemikiran masyarakat, sekarang sudah ditimbulkan pula isu lucah yang baru. Apakah budaya ini akan diteruskan sehingga boleh diterima sebagai norma biasa oleh generasi akan datang. PMIUM dengan tegas menyatakan bahawa mahasiswa menggesa agar permainan isu ini dihentikan segera oleh semua pihak yang berkaitan. PMIUM juga mendesak agar pelaku utama yang mendedahkan video seks ini segera diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya. Hal ini penting bagi memberi mesej kepada rakyat bahawa budaya ini adalah sangat tidak sihat untuk masa depan demokrasi negara.
TUNTUTAN PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UM.
1. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan pendirian rasmi berhubung isu politik mendedahkan aib. Pendirian ini mestilah jelas menyatakan pandangan Islam terhadap budaya politik dedah aib ini. PMIUM berasa amat kesal apabila kesemua pemimpin yang terlibat dalam permainan politik aib ini adalah mereka yang beragama Islam. Hal ini secara tidak langsung boleh mendatangkan persepsi negatif masyarakat khususnya yang bukan Islam terhadap ajaran Islam. Maka pendirian Jawatankuasa fatwa Kebangsaan perlu dikeluarkan segera bagi mewakili suara seluruh umat Islam. Keadaan ini amat perlu bagi memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa Islam melarang keras budaya ini dan menyediakan hukuman yang tegas bagi sesiapa sahaja yang cuba mengamalkan budaya yang tidak sihat ini.
2. Jawatankuasa fatwa Kebangsaan juga perlu menyatakan pendirian rasmi berhubung hukuman yang perlu dikenakan kepada pendedah aib berdasarkan hukum Islam. Banyak daripada kalangan NGO Islam sudah memberi pandangan masing-masing berhubung si pelaku yang mendedahkan video perlu diheret dibawah undang-undang Syariah dibawah peruntukan Qazaf.
Namun sehingga ke hari ini Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan selaku institusi yang berautoriti belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
PENUTUP
Semoga memorandum yang diusulkan ini dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak Abdul Shukor Bin Haji Husin Razak bagi membolehkan semua pihak khususnya rakyat Malaysia dapat kembali merasai suasana demokrasi yang aman, bersih dan adil.
*Kenyataan media oleh Muhammad Safwan Anang Talib selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan