Pengikut

Ahad, 3 April 2011

PR Pulau Pinang tidak gentar dengan laungan Najib

Lim Guan Eng berkata Pakatan Rakyat (PR) tidak kisah dengan laungan Datuk Seri Najib Razak semalam, yang berikrar akan menawan balik Pulau Pinang, sebaliknya bertekad akan menggandakan usaha bagi memberi khidmat terbaik dan membawa perubahan di negeri itu.

Semalam, sempena lawatan sehari, perdana menteri berkata, beliau yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.

“Pulau Pinang (pimpinan) PR akan mengadakan siri pertemuan di seluruh negeri untuk memperbaiki prestasi dengan menggandakan usaha kami demi (memberi) perkhidmatan lebih baik bagi rakyat dan (menjamin) urus tadbir baik untuk berhadapan dengan tekad Datuk Seri Najib Razak mahu menawan balik Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sama ada ada perubahan angin di Pulau Pinang yang akan membolehkan BN menang balik Pulau Pinang, itu tidak penting,” kata Ketua Menteri dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebaliknya Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, persoalan penting ialah dalam usaha nekad mereka itu adakah BN sanggup untuk “menutup” perbezaan-perbezaan yang amat mendalam di kalangan parti komponen perikatan itu.

Antaranya menurut Lim, siapa yang bakal menjadi ketua menteri jika BN menawan balik Pulau Pinang.

Sehingga Mac 2008, jawatan ketua menteri disandang oleh wakil Gerakan, komponen BN.

“Bagaimana (mereka) dalam bersatu semula selepas percanggahan (pandangan) Umno Pulau Pinang yang rasis dan ektremis memanggil bukan Melayu sebagai pendatang, tidak hak untuk menuntut layanan saksama dan parti-parti bukan Umno dalam BN pula menentang langkah PR menaikkan peruntukan bagi hal ehwal Islam.

“Atau, serangan Umno terhadap peruntukan tahunan RM100 di bawah Program Penghargaan Warga Emas bahawa ia adalah haram kerana disalurkan daripada wang judi manakala Gerakan pula kata ia satu bentuk rasuah,” kata Lim lagi.

Malah, Lim juga menimbulkan persoalan kegagalan BN Pulau Pinang dalam mengatasi rasuah dalam pentadbiran lalu.

Kata beliau, PR Pulau Pinang akan mengarahkan pemimpinnya khususnya wakil rakyat-wakil rakyat untuk menunjukkan sejauh mana mereka telah berkhidmat kepada pengundi-pengundi mereka bagi membawa kelainan berbanding ketika era BN.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri PR akan turun padang utnuk menjelaskan kepada rakyat perubahan-perubahan yang telah dibawa oleh kerajaan negeri sejak 2008,” katanya lagi.

Sehubungan itu Lim juga berkata, PR tidak akan selesa ataupun berada dalam persekitaran penafian dengan cabaran terbaru Najib, yang juga presiden Umno.

“Sebaliknya hanya melihat ini (cabaran) sebagai retorik daripada perdana menteri, kami akan melihat ini sebagai satu cabaran saingan untuk melakukan yang lebih baik.

“Sebagaimana saya telah katakan, salah satu perbezaan besar antara PR dan BN ialah kapasiti PR untuk membawa perubahan, humiliti dan kesediaan untuk mengakui kesilapan kami, yang dimotivasikan oleh keinginan untuk (membawa) penambahbaikan,” kata beliau lagi.

Lim menambah, sementara PR bersedia untuk menghadapi cabaran terbaru dilontarkan oleh Najib ini, kerajaan negeri Pulau Pinang juga kesal kerana perdana menteri telah disalah maklum oleh BN negeri itu bahawa rakyat Pulau Pinang khususnya pemilik-pemilik gerai berhadapan dengan tekanan dan kesukaran menyara hidup berbanding ketika era pentadbiran BN sebelum ini.

“Ini salah dan tidak benar,” kata Lim sambil menambah, kerajaan negeri melayan dan menguatkuasakan undang-undang dengan seimbang.

Ekonomi Pulau Pinang pula katanya, mengalami pertumbuhan dengan rekod pelaburan bersejarah RM12.2 bilion, yang mengatasi kedudukan pelaburan di negara ini.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang PR adalah bagi semua rakyat tidak kira kaum, agama dan latar belakang politik,” katanya lagi.

Tambahan pula kata Lim, kerajaan negeri Pulau Pinang tiada kedudukan kewangan yang kuat untuk bersaing dengan kerajaan persekutuan dari segi peruntukan dana.

“Jika Najib mahu membiayai penuh kos mengecat semula flat-flat Rifle Range dan kesemua rumah pangsa dibina kerajaan di Pulau Pinang, kerajaan negeri Pulau Pinang bersedia untuk memberi laluan dan biar kerajaan pusat yang mengambil pujian,” katanya lagi.

Lim menambah, Najib juga ada mengatakan yang beliau hanya mengunjungi flat Rifle Range sekali dan mengumumkan kerajaan negeri akan memberi subsidi 80 peratus kos kononnya selepas mengetahui perdana menteri akan melawat, yang diadakan semalam.

“Sekali lagi, Najib disalah maklum oleh penasihat-penasihat BN Pulau Pinang. Ia bukan kali pertama saya melawat flat Rifle Range.

“Dan, keputusan kerajaan negeri mahu memberikan subsidi 80 peratus kos mengecat bukan dimaklumkan kali pertama di flat Rifle Range atau di Kampung Melayu tetapi kira-kira dua minggu lalu di flat Mahsuri di Bayan Baru, yang perdana menteri tidak melawat langsung.

“Atas alasan ini, jika Najib dan kerajaan pusat sanggup untuk menaja kos mengecat semula seratus peratus, kerajaan negeri bersedia untuk memberi laluan,” kata Lim sambil menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan berlumba-lumba dengan kerajaan persekutuan dalam memperbaiki kehidupan rakyat.

“Meletakkan kepentingan rakyat berbanding politik sentiasa menjadi asas bagi kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat,” kata Lim lagi.

-The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan