Pengikut

Ahad, 3 April 2011

Video Seks: Rakyat tidak percaya

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat (PR) pimpinannya kemungkinan berhadapan dengan ‘laluan sukar’ ekoran skandal video seks terbaru yang didedahkan oleh “Datuk T” dua minggu lalu.

Meskipun hasil kajian firma bebas itu mendapati ramai yang tidak percaya dengan ketulenan video, yang didakwa membabitkan aksi Anwar dan seorang pelacur asing, sejumlah responden yang ramai mengatakan mereka tidak pasti.

Malah, ramai daripada 504 responden yang ditemui juga berkata mereka berpendapat keseluruhan episod akan memberi kesan ke atas keyakinan terhadap PR.

“Ada banyak ruang kabur (dalam pandangan) di kalangan orang ramai, kemungkinan disebabkan ketidakpastian, sesetengah (pula masih) teragak-agak atau memang kurang maklumat apabila bercakap mengenai Anwar, memandangkan kebanyakan maklumat yang ada mengenai beliau adalah (condong kepada) satu pihak dan negatif,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian mengenai hasil kajian itu.

Kajian pendapat umum ini dijalankan menerusi telefon antara 24 dan 27 Mac lalu. Seramai 504 responden dipilih menggunakan kaedah persampelan strata secara rawak.

Berdasarkan penemuan hasil kajian diperoleh The Malaysian Insider, daripada 504 responden yang dipilih, 85 peratus sedar akan kewujudan video seks ini manakala baki 15 peratus mengatakan tidak.

Secara total, seramai 51 peratus tidak percaya Anwar adalah lelaki yang mengadakan seks dengan seorang wanita yang didakwa dalam rakaman video seks manakala 29 peratus tidak pasti.

Hanya seramai 17 peratus mengatakan mereka “sangat percaya” Ketua Umum PR itu adalah lelaki dalam rakaman tersebut yang didedahkan oleh tiga “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

Ketika ditanya sama ada video itu akan memberi kesan ke atas aspek keyakinan terhadap PR, 48 peratus tidak setuju manakala baki 14 peratus mengatakan tidak pasti.

Bagaimanapun seramai 41 peratus responden beranggapan bahawa isu terbaru ini akan menjejaskan tanggapan mereka tentang PR.

Responden juga ditanya sama ada mereka percaya yang video berkenaan akan membawa malapetaka ke atas PR kelak.

Sedangkan 45 peratus mengatakan tidak setuju tetapi 38 peratus meramalkan ia akan membawa ke arah itu manakala 16 peratus lagi tidak pasti.

Anwar dan rakan-rakannya dalam PR kini berusaha untuk memperbaiki kerosakan yang wujud ekoran pendedahan video itu, tetapi ramai meramalkan bahawa skandal terbaru ini akan menyebabkan kecacatan ke atas perikatan tersebut.

Anwar sendiri telah menafikan beliau adalah lelaki dalam rakaman video seks itu dan membuat laporan polis pada 22 Mac iaitu sehari selepas pendedahan oleh “Datuk T”.

Dalam ulasan kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, penganalisis politik meramalkan video seks itu kemungkinan akan merumitkan kempen PR pada pilihan raya negeri Sarawak.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan rakaman video seks yang didakwa membabitkan pemimpin kanan PR adalah tulen.

Katanya, hasil laporan dikemukakan pakar, polis mengesahkan bahawa rakaman berkenaan tulen dan tidak seperti didakwa.

Tambah beliau, dengan pengesahan ketulenan video terbabit, siasatan polis juga sudah di peringkat akhir di mana kertas siasatan akan diserahkan kepada peguam negara dalam waktu terdekat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan