SUDAH dua minggu isu video lucah bergentayangan di seluruh negara. Semua orang sudah tahu termasuk budak-budak Tadika. Mereka terpinga-pinga dan jadi keliru tentang isu ini. Pemimpin politik negara ini ada dalam video lucah? Bingung. Saya yakin sudah ramai yang menontonya secara haram. Mereka dipanggil seorang demi seorang termasuk (mungkin) ulama?
Ini adalah satu strategi. Tayangan dibuat secara selektif dan eksklusif. Mereka yang menonton akan bercakap mengikut persepsi dan agakan mereka. Ia juga mengikut mood dan selera mereka.
Kalau mereka kebetulan membenci tokoh yang ada dalam video itu akan ditokok tambahkan. Akan diperpanjangkan mengikut selera amarahnya. Manakala kalau kebetulan yang menontonya itu bersimpati kepadanya, dia akan mendiamkan diri saja kalau benar wajah dalam video itu tokoh berkenaan. Tentu mereka akan mengurut dada dan menangis mengenangkan apa yang berlaku.
Saya juga merasakan bukan saja isu video berkenaan sudah melata ke seluruh dunia, mungkin sudah sampai ke Altartika tetapi mungkin kliknya juga sudah pun 'sedia' untuk ditayangkan secara umum. Tunggulah, tidak esok, lusa tidak lusa tahun depan ia akan ditayangkan. Pasti. Saya yakin pihak penerbit, pengedar dan pembikin hanya menunggu masa saja. Tidak timbul lagi mereka takut kerana 'permit tayangan' sudah pun diperolehi.
Saya selalu katakan ada dua kesukaan manusia, memberi tahu kepada orang ramai apa yang dia tahu dan ingin mengetahui sesuatu dan memburunya. Kalau ia ada cerita ia akan bisik atau bikinkan you tube dan sebarkan. Kalau tidak tahu, dia akan bertanya dan mengorek situ dan sini sehingga diperolehi apa yang diinginikan itu.
Hari ini sudah berbagai tafsiran ke atas video berkenaan. Masih samar siapa yang menjadi pelakunya. Tetapi yang menyebar dan mengambil tanggungjawab sudah jelas. Siapa Datuk T sudah pun jelas dan tidak usah diceritakan lagi mengenai latar belakang dan sejarahnya.
Setelah dua minggu cerita video ini sudah 'mencepuahkan' minda rakyat negara ini saya tertanya sendiri kenapa Perdana Menteri Najib Razak masih mendiamkan diri. Belum terdengar ke telinga saya ulasan dari perdana menteri mengenai isu berkenaan.
Tidak seperti isu DNA baru-baru ini Najib mendesak Anwar menyerah sample DNA kepada mahkamah. Tetapi berlainan dengan isu video lucah ini. Najib sok menjadi alim mengenai hal ini. Kenapa? Apakah mendiamkan diri juga salah satu tektik dan strategi?
Sebagai PM Najib tidak boleh duduk diam. Dia perlu bercakap dan mengulasnya. Sebab ia bukan isu personal antara seseorang dengan seseorang. Tetapi sudah menjadi isu umum. Polis pun sudah menyiasat dan mengesahkan akan ketulenan video berkenaan. Najib perlu ingat bahawa dirinya adalah hak dan kepunyaan dua entiti ataupun pihak. Satu hak Umno dan satu lagi hak rakyat. Najib mesti membelah dua jasa dan jiwanya.
Atas kapasiti presiden Umno Najib boleh melakukan apa saja untuk ahli dan penyokong parti itu. Tetapi untuk rakyat beliau kena perlakukan dengan adil dan saksama. Tindakan sebagai ahli politik kena dibezakan dengan tindakan sebagai pemimpin negara.
Apakah dengan mendiamkan diri Najib tidak mahu orang menuduh dia terlibat? Kalau itulah pendiriannya ia adalah salah besar. Apapun mengenai isu video ini kerana ia bermotifkan politik Najib tidak boleh mengelak dari memperkatakannya. Semakin dia menyepikan diri semakin orang mempersoalkan keikhlasannya.
Kalau mengikut perkembangan terbaru, kes video lucah ini semacam akan dibawa ke mahkamah. Kata Ketua Polis Negara, Ismail Omar kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara. Peguam Negara akan menentukan sam ada hendak dakwa atau tidak. Tidaklah pula saya arif siapa yang akan didakwa. Apakah orang bertanggunjawab menyebar, membikin, menonton atau watak-watak yang ada dalam video berkenaan.
Saya ingin memberi pandangan sedikit kepada Najib kalau-kalau hendak dengar. Rasanya baik beliau campur tangan mengenai isu video berkenaan. Dalam hal ini Najib yang ada kuasa penuh boleh menggunakan kuasanya. Tidak payah Najib kata dia berkecuali kerana dunia tahu sejauh mana dan sebanyak mana kuasa seorang perdana menteri. Kata Abdullah Badawi selepas menjadi PM, banyak benda yang sebelum itu dia tidak tahu, kemudian tahu.
Setelah isu ini sudah panas dan hangat, elok kalau Najib mengambil sikap menghentikan isu video berkenaan. Sama ada ia melibatkan Anwar atau tidak, wajar ia dihentikan. Alasannya perkara itu menjijikkan. Dalam perhatian saya adalah silap kalau isu ini diperpanjangkan kerana ia tidak memberi banyak manfaat kepada Najib dan politik BN sendiri. Makin dimainkan makin menimbulkan kemaharan.
Isu video itu bukan seperti filem Ali Bapa Bujang Lapok, Do Re Me, Labu Labi atau pun Ibu Mertuaku. Filem-filem itu tidak jemu ditonton kerana nilai seni dan klasiknya. Tetapi cerita video lucah ini amat menijik dan menyemakkan dan mencepuahkan minda. Apakah seorang PM seperti Najib mengizinkan perkara seperti ini?
Rasanya kalau Najib ingin tampil sebagai seorang pemimpin berwibawa, dilihat berakhlak dan mempunya integriti serta sukakan kepada kedamaian, inilah masanya. Beliau perlu berbudi dan berjasa dalam hal ini untuk dirinya sendiri. Beliau bangkit dan berkata sepatah, hentikan isu video lucah ini kerana ia tidak menguntungkan sesiapa baik di dunia maupun di akhirat. Kalau Najib berani berbuat begitu darjah dan markahnya akan melonjak.
Kalau Najib bingkas berbuat demikian saya yakin penghormatan kepada beliau makin tinggi, dan darjatnya juga sebagai pemimpin tenang dan matang makin menyerlah. Saya rasa bukan saja rakyat terbanyak menyanjungi langkah Najib itu tetapi dari kalangan pembangkang juga.
Isu video lucah ini peluang untuk Najib membina imejnya. Sikap begitulah saya rasakan ia termasuk dalam ciri tranformasi hendak dilakukan Najib. Biarlah kalau orang mengatakan usaha menghentikan itu Najib sebagai penakut tetapi hakikatnya tindakan itu adalah afdal dan alua' dari sisi rakyat yang cintakan perdamaian.
Ingat dan insaflah seorang perdana menteri bukan saja menjaga kepentingannya dan kumpulannya tetapi juga memeliharaan kepentingan dan kumpulan rakyat seluruhnya. Najib akan dikenang kalau ia berani melakukan sesuatu yang diluar pemikiran mereka yang desperate. Beranikah Najib? Sesekali apa salahnya kalau kita sepakat menyusun jari membuka pintu syurga auntuk ummah kita.
-Mohd Sayuti Omar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan