BN dilihat berhadapan dengan tekanan hebat daripada Pakatan Rakyat (PR) khususnya di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina di mana pengundi-pengundi dilihat sudah mula menerima agenda “undi untuk perubahan” yang dibawa PR.
Di Kuching, Sibu dan Miri, ceramah-ceramah kendalian DAP menarik ribuan hadirin - keadaan yang jarang dilihat di Sarawak di mana pengundi-pengundi lazimnya dianggap sebagai berhati-hati dan konservatif dalam menunjukkan sikap mereka.
Di pihak lain, PKR — satu lagi komponen PR, kelihatan yakin akan menerokai laluan lebih baik di sekurang-kurangnya 12 kerusi khususnya Batu Lintang, Saribas, Ba’kelalan, Layar, Krian, Opar, Bengoh, Tarat, Batang Ai, Engkilili, Senadin dan Batu Danau.
Di sebalik taktik kempen pembangkang yang membadai kali ini, parti-parti Sarawak kelihatan memulakan kempen yang agak menjemukan dalam usaha mempertahankan pentadbirna negeri, menggunakan cara lama — mengadakan majlis bertemu rakyat yang formal dan pertemuan yang diserikan dengan kehadiran menteri-menteri persekutuan.
Malah, kempen BN juga dikatakan dibayangi laporan-laporan dan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Tan Sri Abdul Taib Mahmud — ketua menteri Sarawak paling lama memegang jawatan.
Tinjauan di beberapa kawasan perkampungan yang dikatakan sebagai kubu kuat Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP), komponen BN — di Tasik Biru, menunjukkan pembangkang telah berjaya mengembangkan pengaruh dengan cepat dan mendapat sokongan positif.Ramai pengundi yang ditemui kelihatan berhati-hati apabila ditanya siapa yang mereka akan menyokong Sabtu ini.
Berbanding dengan laungan “BN” yang sering didengar, mereka kelihatan ‘membisu’ kali ini mengenai pilihan mereka. DIfahamkan pendirian ini satu petanda jelas pembangkang telah berjaya memikat pengundi-pengundi di kawasan kubu kuat BN.
Perdana Menteri yang berada di sini Khamis lalu akan mengetuai kempen di Sarawak dengan jadual yang ketat mulai hari.
Beliau dijadual akan berada di kawasan-kawasan yang dilihat panas seperti Kuching, Miri dan Sibu.
Pengerusi BN ini akan tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching di sini pada pukul 7.40 petang ini sebelum mengadakan pertemuan dengan para pemimpin di Majlis Perbandaran Kuching Selatan pada pukul 8.30 malam.
Esok, presiden Umno ini akan menghadiri majlis gotong-royong di Pasar Rakyat Stutong pada pukul 8.10 pagi sebelum bergerak ke Pekan Saratok di Betong, pukul 9.15 pagi dan kemudian menghadiri majlis bertemu rakyat di Masjid Kampung Beladin dan majlis seterusnya di Betong, Bandar Sri Aman dan Lubok Antu.
Najib akan kembali ke Kuching untuk menghadiri majlis makan malam 1 Malaysia dan kembali ke ibu negara pada pukul 10 malam.
Beliau akan kembali ke Kuching pada Selasa.
Rabu ini, Najib akan memulakan lawatan pada pukul 8.30 pagi di Engkili dan disusuli dengan kunjungan ke Sebuyau, Sadong Jaya, bandar Bau di Tasik Biru, KMC Flats di Kuching, dan menghadiri solat dan makan malam di Masjid Darul Farhanah dan kemudian menghadiri majlis Lembaga Pembangunan 1 Malaysia di SK Merpati Jepang sebelum bertolak ke Miri pada pukul 10 malam.
Keesokan hari, Najib akan melancarkan klinik bergerak bot 1 Malaysia di Sungai Baram, Marudi seawal 8.15 pagi dan kemudian bergerak ke Bario, Ba’Kelalan, Lawas, Limbang dan menghadiri majlis makan malam di Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya di Miri dan seterusnya terbang ke Sibu pada pukul 10 malam.
Sehari sebelum pengundian, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kapit pada pukul 9.30 pagi dan kemudian menyertai majlis di Masjid Nurul Islam, Song.
Mengulas jadual ketat Najib yang sanggup menghabiskan enam hari di Sarawak menjelang hari pengundian 16 April, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, ia petanda jelas BN makin terdesak untuk mengekalkan kubu kuatnya di Sarawak.
Bagaimanapun beliau bimbang BN akan menggunakan apa jua cara untuk memastikan ia dapat mengekalkan negeri Sarawak, Sabtu ini.“Ia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan ia dapat kekal meneruskan kuasa di Sarawak. Saya berharap ia tidak akan menjejaskan pengundian dan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih,” kata Pua yang juga anggota Parlimen.
-TheMalaysianInsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan