“Perbetulkan Barisan Nasional (BN) dahulu. Proses demokrasi diamalkan di negara ini perlu direformasikan sejajar arus perubahan melanda dunia pada masa ini."
Demikian kata Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang semasa majlis pengumuman calon Pas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, BN mesti mengambil tindakan segera memperbetulkan segala kelemahan yang ada untuk memastikan demokrasi diamalkan di negara ini benar-benar tulen.
Dakwanya, kerajaan pimpinan BN bukan sahaja mengekang media di negara ini, tetapi turut mengawal organisasi lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) dan sebagainya.
“Kita sudah memberi peluang kepada BN sebagai kerajaan memerintah negara ini supaya memodenkan demokrasi kerana masa sudah berubah.
“Demokrasi mesti direformasikan. Demokrasi adalah mahkamah rakyat melalui pilihan raya untuk mereka memilih kerajaan sihat (untuk memerintah negara,” katanya.
Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution; Pesuruhjaya Pas Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman; Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Pemuda DAP pusat, Anthony Loke serta barisan kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri dan Pusat.
Menerusi majlis berkenaan, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka, Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon Pas untuk PRK DUN Merlimau 6 Mac ini.
Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengadakan satu ‘perhimpunan bersih’ untuk mendesak kerajaan membuat perubahan.
“Oleh sebab itu, Pas mengambil bahagian dalam PRK DUN Merlimau ini, mengajak rakyat membuat perubahan menerusi pilihan raya,” katanya.
Abdul Hadi turut mengkritik kerajaan didakwa mengekang akhbar di negara ini sehingga rakyat tidak berpeluang mendapat maklumat adil untuk membolehkan mereka membuat pilihan.
Menurutnya, negara yang mengamalkan demokrasi baik memberikan peluang sama rata kepada semua parti politik memandangkan media adalah saksi adil.
“Tetapi, itu tidak berlaku di sini, di mana parti memerintah mengonkong semua media sehingga menyebabkan rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil. Rakyat hanya mendengar sebelah pihak sahaja.
“Demokrasi yang macam ini (adalah) tidak betul...demokrasi yang macam ini (adalah) salah,” katanya.
Dari SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan