Pengikut

Rabu, 16 Februari 2011

Nora Bebas Dengan Ikat Jamin

Hakim Sekeri Mamat menetapkan RM 2000 setiap seorang dengan seorang penjamin untuk aktivis Norazimah Mohd Noor, 33, dan Khairul Nizad, 27,yang ditahan polis sejak tiga hari lalu.

Menurut Hakim Sekeri, Norazimah dan Khairul Nizad tiada sebab yang kukuh untuk tidak menghadiri perbicaraan berkaitan 'protes kenaikan harga barang' 26 Januari 2008 yang menyaksikan seramai 58 orang termasuk pemimpin Pakatan Rakyat ditangkap dan 42 daripada mereka didakwa.

Norazimah yang juga ahli perniagaan dan petugas Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (IKAK) turut diminta menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Menurut Peguam Norazimah dan Khairul, Syuhaini Safwan, beliau berharap perbicaraan kes ini berjalan dengan lancar untuk membolehkan Norazimah dan Khairul kembali bekerja seperti biasa untuk menanggung keluarga.

"Kita dah set wang ikat jamin tadi dan harapnya kes ini boleh selesai dengan cepat sebab dia (Nora) ibu tunggal, bila cepat habis, dia boleh dapat kembali pasportnya, kerana itu mata pencariannya," katanya.

Norazimah yang dikenali sebagai 'Nora Reformis' telahpun dalam tahanan reman di Penjara Kajang selepas ditahan di rumahnya di Jinjang oleh empat anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Penahanan dipercayai dilakukan kerana aktivis reformasi itu ke luar negeri dalam tempoh dakwaan di mahkamah. Beliau dituduh terlibat dalam satu perhimpunan membantah kenaikan harga barang di KLCC pada 26 Januari 2008.

Mereka dituduh di bawah seksyen 143 kanun keseksaan kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang, yang mana tujuan perhimpunan itu ialah melakukan mudarat awam serta seksyen 188 kanun yang sama keengkaran menyebabkan kegusaran kepada orang ramai yang berkunjung ke kawasan tersebut.

Merujuk kepada seorang temannya melalui laman sosial facebook, Nora telah memaklumkan kepada polis mengenai pemergiannya ke luar negeri pada Februari ini melalui surat bertarikh 31 Januari.

Bagaimanapun, Sekeri menyatakan surat itu tidak diterima Mahkamah.

Sukeri menetapkan 28 Februari, 9, 10, 16 dan 17 Mac sebagai tarikh perbicaraan dan Norazimah dan Khairul bakal diwakili oleh peguam dari badan guaman 'Lawyers For Liberty.'

Seramai 58 orang ditahan termasuk Naib Presiden PAS ketika itu, Mohamad Sabu, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ketua Penerangan PKR ketika itu, Tian Chua.

Turut ditahan ialah penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM), Aruchelvan dan Dr Osman Nasir dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dr Badrul Amin Bahrun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan