Pengikut

Rabu, 12 Januari 2011

Video Sidang Media Anwar cabar Najib debat

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat secara terbuka berkenaan isu Program 100 Hari Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa akan memufliskan negara.

Menurutnya, beliau bersedia pada bila-bila masa di mana sahaja dan sebolehnya diadakan dalam masa terdekat kerana isu ini melibatkan kepentingan bersama dan biarkan rakyat yang membuat keputusan.

Katanya, Najib seharusnya menerima cabaran ini untuk mengeluarkan fakta serta hujah masing-masing kerana beliau kelmarin telah membidas Program 100 Hari PR sebagai pelan populis serta tidak bertanggungjawab.

“Saya mencabarnya kerana beliau (Najib) berkata kita memperolokkan rakyat, maka sebaiknya Najib sebagai seorang tokoh negara tampil secara berani menyahut dan mempertahankan hujah masing-masing.

“Jika beliau bersetuju tetapi menghantar Menteri Penerangan (Datuk Seri Dr Rais Yatim) seperti isu minyak lalu, kita akan hantar Ketua Penerangan (Dr Muhd Nur Manuty) untuk berdebat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR semalam.

Katanya, tuduhan yang mengatakan Program 100 Hari PR akan memufliskan negara adalah tidak benar kerana negara ini sememangnya menuju ke arah muflis sekiranya kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) terus berhutang sewenang-wenangnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut mendedahkan hutang negara bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 bilion atau 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50 peratus buat pertama kali dalam sejarah negara.

“Tabiat berhutang ini akan membebankan generasi akan datang adalah amat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak dibelanjakan untuk rakyat,” katanya.

Dakwanya lagi, ketirisan wang yang berlaku setiap tahun dianggarkan berjumlah RM51 bilion adalah terlampau banyak jika dibandingkan dengan kos RM19.2 bilion untuk menjayakan Program 100 Hari PR.

Ditanya sama ada isu ini akan dibawa PR pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Anwar menegaskan pilihan raya kecil hujung bulan ini akan dijadikan medan penting untuk menerangkan masalah negara kepada rakyat.
Jawatan Kosong


Tiada ulasan:

Catat Ulasan