Pengikut

Jumaat, 14 Januari 2011

Kerajaan Negeri Selangor bantu orang Islam henti kerja di premis arak

Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja Islam yang terjejas apabila Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan mereka bekerja di premis dan pusat hiburan yang menjual arak dikuatkuasakan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan berjumpa dengan semua penguasa kerajaan tempatan Isnin ini bagi memastikan enakmen itu dilaksanakan 'secara baik dan berkesan".

Ahli Exco Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Hajjah Rodziah Ismail ditugaskan menubuh sebuah sekretariat dan berbincang dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi pelaksanaan enakmen itu.

"LZS akan diminta untuk bersama-sama menubuhkan satu tabung khas demi membantu pekerja beragama Islam yang mahu meninggalkan pekerjaan di premis-premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras, " kata Khalid.

"Kerajaan Negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan tersebut atas sebab ekonomi. Oleh itu, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini," kata beliau.

Khalid berkata kerajaan negeri menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memastikan umat Islam mencari rezeki yang halal.

Pada masa sama kerajaan negeri menyedari keperluan memberi tempoh yang mencukupi kepada pemilik premis dan pekerja yang terlibat untuk mengikut enakmen berkenaan.

"Justeru itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan Enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan," kata beliau.



p/s: Tahniah kepada kerajaan negeri Selangor...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan