Pengikut
Rabu, 19 Januari 2011
Pimpinan PR Kecam Dalang Nota Ugutan Kepada Nie Ching
Tindakan meletakkan nota berbaur ugutan dan menggantung seekor ayam berlumuran darah yang ditujukan kepada ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching bertujuan mengembalikan ingatan rakyat terhadap beberapa insiden melibatkan wakil rakyat itu.
Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, perkara paling sensitif untuk semua kaum adalah isu agama dan itu dijadikan modal pihak tertentu untuk melaga-lagakan masyarakat di negara ini.
Lantaran itu katanya, satu rancangan teliti dibuat untuk membakar sentimen perkauman.
" Isu agama ini yang paling mudah untuk mengapi-apikan orang. Jadi orang-orang yang ada tujuan dan berniat jahat ini akan terus memutar belit, terus menggunakan isu ini kecuali mereka terpaksa terus mencari pelbagai taktik dari hari ke hari supaya isu ini dapat terus dimainkan di surat khabar," ujar Khairul atau lebih dikenali sebagai Jonah kepada Tv Selangor.
Pagi tadi, pembantu Nie ching, Chen Fan Dao dikejutkan dengan sekeping nota dan seekor ayam yang masih berdarah digantung di luar pejabat pusat khidmat DAP, di Sungai Chua, Kajang.
Nie Ching sebelum ini dikecam hebat oleh media milikan Umno-Barisan Nasional terutama Utusan dan Tv3 kerana isu memasuki surau dan berpakaian sukan ketika menyertai senamrobik anjuran sebuah masjid di Cheras.
" Kalau ahli parlimen Serdang itu masuk ke kawasan masjid dengan pakai seluar pendek itu lain cerita lah. Dia memakai pakaian menjolok mata misalnya. Saya rasa dia berpakaian sopan. Jadi apa masalahnya?," kata Jonah lagi.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali memberi amaran kepada mereka yang sewenang-wenangnya menggunakan perkataan "jihad" dalam nota amaran kepada Nie Ching.
Katanya, tindakan pihak yang mengugut Nie Ching sambil menggelarkan diri sebagai "tentara jihad" adalah tidak bersesuaian dengan tindakan yang dilakukan.
"Orang yang berjihad tidak akan melakukan perkara begini. Dia tidak perlu untuk menakutkan seseorang wanita yang dipilih oleh rakyat sebagai wakil rakyat yang sah dan ini bukan cara untuk berjihat.
"Kalau kita ada sesuatu yang kita tidak puas hati, maka carilah cara yang diplomatik, cara runding meja bulat untuk kita luahkan perasaan. Tapi perbuatansebegini adalah terbalik apa yang dikatakan perbuatan jihad itu.
"Bagi yang bukan Muslim saya memohon maaf kerana perkataan ini, dan bagi yang Muslim, awas jangan gunakan perkataan jihad sesuka hati," katanya kepada Tv Selangor.
Dalam kejadian kira-kira 2.00 pagi semalam, dua lelaki tidak dikenali melakukan perbuatan itu tanpa menyedari adegan mereka dirakam oleh lensa kamera litar tertutup di kedai bersebelahan pejabat tersebut.
Kejadian tersebut telah pun dilaporkan di balai polis daerah Kajang jam 11.45 pagi tadi.
Sementara itu, ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok menyeru pihak yang berwajib segera menjalankan siasatan kerana ia adalah perbuatan jenayah.
"Saya berpendapat pengantungan ayam yang disembelih di pejabat YB Teo Nie Ching ini adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun dan harus dikutuk oleh pengundi di kawasannya kerana ugutan seperti ini sebenarnya tidak membantu dalam apa-apa isu. Ini menunjukkan orang yang berbuat demikian berunsur jenayah.
"Saya ingin menyeru pihak polis menjalankan siasatan terhadap isu ini," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan