Pengikut

Rabu, 12 Januari 2011

Nazri Cabar Awnar Debat Untuk Alih Isu Program 100 Hari PR

Cabaran Datuk Seri Nazri Aziz untuk berdebat isu APCO dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bertujuan mengalih perhatian umum terhadap Program 100 hari yang dikemukakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini, ujar Tian Chua.

Sehingga berita ini ditulis Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak belum memberi respon berkenaan cabaran Ketua Umum PKR itu untuk berdebat program 'Janji 100 Hari Pakatan Rakyat' setelah menyifatkan ia tidak relevan.

Naib Presiden PKR itu yang dihubungi Tv Selangor pagi tadi berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak mampu menangkis cadangan bernas yang diusulkan dalam 'Buku Jingga Pakatan Rakyat' sebaliknya menggunakan kepimpinan lain Umno-Barisan Naisonal mengalih tumpuan rakyat terhadap isu lain.

Menurutnya, Umno-Barisan Nasional(BN) hanya berani menggunakan media arus perdana untuk memutar belitkan fakta selain mempertikai kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakan janji 100 hari menongkah perubahan, membaikpulih sistem ekonomi dan taraf hidup masyarakat.

"Pertama sekali mereka boleh gunakan media untuk kritik kita dan kita tidak ada peluang untuk balas balik terutama dalam isu pembaharuan dalam seratus hari. Bila kita ajak Najib berbahas, macam-macam cabaran lain dari orang termasuk Khairy dan Nazri.

"Dan ini sedikit sebanyak mengalih tumpuan daripada Najib yang telah menunjukkan sebenarnya beliau agak khuatir dengan perkara yang terkandung dalam Buku Jingga," jelas beliau kepada Tv Selangor.

Keengganan Perdana Menteri mengiktiraf kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat mengurustadbir negara dalam tempoh 100 hari mengakibatkan beliau mencari alasan untuk tidak berhadapan dengan Anwar Ibrahim justeru membangkitkan semula isu bukti APCO.

Tian menambah, usaha Pakatan Rakyat mereformasikan sektor kewangan dan pentadbiran negara tidak harus dipandang ringan kerana rakyat akan lebih menikmati kekayaan negara berbanding projek mega yang menelan belanja berbilion ringggit.

Justeru tambahnnya, kerajaan Pakatan tidak pernah berasa was-was dengan cadangan yang dikemukakan demi mengurangkan tekanan langsung terhadap rakyat.

"Memang itu jelas kita mampu lakukan. Kita sedikit pun tidak ragu atas perkara itu," kata beliau lagi.

Antara perkara yang termeterai dalam 'Janji 100 Hari Pakatan Rakyat' termasuk imbuhan khas kepada tenaga pendidik berjumlah RM500 sebulan, penstrukturan semula sistem subsidi minyak yang mengambilkira golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan penstrukturan semula sistem tol.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno-Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dalam laman Twitternya berkata Anwar tidak layak berdebat tentang ekonomi dengan Perdana Menteri justeru mengatakan beliau adalah lawan terbaik Anwar.

Dalam kenyataan Anwar minggu lalu, beliau menyifatkan peningkatan hutang kerajaan Malaysia kepada RM362.39 atau 53.7 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2009 berada pada tahap membimbangkan.

Ini menurut beliau berpunca daripada kerakusan kerajaan Umno-Barisan Nasional pimpinan Najib Razak membelanjakan sejumlah besar wang negara selain menambah jumlah hutang negara saban hari untuk memenuhi kehendak materialistik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan