Felda Tenang digegarkan dengan pendedahan bukti hubungan kerajaan Malaysia pimpinan Umno-Barisan Nasional dengan APCO Worldwide bersabit isu 1 Malaysia.
Perkara itu didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembuka tirai kempen pilihanraya kecil DUN Tenang bermula malam tadi.
Menerusi salinan dokumen perjanjian Malaysia-APCO Worldwide yang dikemukakan Anwar, menyatakan penglibatan Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad sebagai saksi perjanjian tandatangan pegawai kerajaan Malaysia dengan syarikat perunding Israel itu.
Justeru menurut beliau, penafian berterusan syarikat yang berpengkalan di Washington and Tel Aviv oleh Perdana Menteri Najib Razak selama ini merupakan pembohongan semata-mata.
"Ada tak perjanjian? Ada. Pertama saya ada, kerajaan Israel dan Apco yang mereka kata tiada dan menteri-menteri kita nafi. Tahun 1991. Kerajaan Israel dan Apco, ini perjanjian. Kedua 2009, perjanjian kerajaan Datuk Seri Najib dengan Apco.
"Tandantangan bukan setakat wakil kerajaan, saksinya Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib, ini dia. No kad pengenalan pun ada, 620707015781," kata beliau di hadapan ratusan masyarakat felda yang hadir ke Markas PAS Felda Tenang malam tadi.
Anwar ketika ini digantung enam bulan oleh Parlimen Malaysia tanpa diberi peluang membela diri kerana dituduh mengelirukan dewan setelah lantang mendedahkan konsep 1 Malaysia yang meniru 'One Israel' oleh APCO Worldwide.
Seterusnya, Najib tampil menafikan tuduhan itu sebaliknya menyatakan konsep tersebut adalah ilhamnya sendiri.
"1999, Ehud Barak sebut 'One Israel, People First''. Apa maknanya? Rakyat didahulukan. Sepuluh tahun kemudian, rakyat didahulukan. Tanya mereka (Umno-Barisan Nasional), kebetulan. Satu Israel, Satu Malaysia, kebetulan. Macam cerita P Ramlee, cubaan," disahut ketawa sinis penduduk felda yang hadir.
Beliau turut akan mengedarkan salinan dokumen tersebut kepada markas-markas parti Pakatan Rakyat.
Dalam ceramahnya, beliau turut mengecam pemimpin yang bersikap bongkak terhadap kuasa dan tanggungjawab yang dimandatkan oleh rakyat.
Tambahnya lagi, beliau tidak gusar akan tentangan hebat yang diberikan kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menyekatnya daripada mendedahkan perbuatan salah pemimpin-pemimpin parti itu justeru mengajak rakyat menilai integriti wakil masyarakat yang dipilih.
Jelasnya lagi, rakyat harus didedahkan dengan maklumat sahih agar dapat menilai sejauh mana tanggungjawab yang dilaksanakan oleh kepimpinan negara.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu hadir ke kawasan DUN Tenang bertemu masyarakat di tiga lokasi sekitar Labis malam tadi yang rata-ratanya memberi respon positif terhadap calon Pakatan Rakyat, Normala Sudirman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan