Rakyat negara ini dijangka akan menyambut kedatangan tahun baru 2011 dengan perasaan yang kelat berikutan wujudnya tanda-tanda awal berlakunya kenaikan harga barangan pengguna pada awal tahun nanti.
Spekulasi kenaikan harga susu sejat dan susu krim di antara 20 sen hingga 30 sen pada permulaan tahun baru juga semakin bertiup kencang pada masa ini.
Sebelum ini sebuah syarikat pengeluar susu sejat dan krim mendakwa kenaikan harga gula akan turut memberi implikasi kenaikan harga produk keluaran mereka berikutan gula sebagai salah satu bahan utama produk mereka.
Kesan berantai kenaikan harga daripada langkah rasionalisasi subsidi yang diumumkan kerajaan itu dijangka turut memberi kesan terhadap harga makanan dan minuman oleh pengusaha restoran.
Manakala tinjauan di beberapa kedai runcit sekitar negeri Selangor pula mendapati bekalan minyak masak dalam paket 1kg semakin berkurangan, keadaan yang sama sebelum berlakunya kenaikan harga gula pasir sebelum ini.
Ketika beberapa peniaga yang memberitahu mereka telah kehabisan bekalan minyak masak, beberapa peniaga lain pula terpaksa menghadkan pembelian kepada satu paket sahaja untuk setiap pelanggan.
Minyak masak juga merupakan antara barangan yang tersenarai dalam pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
Memetik berita yang disiarkan oleh sebuah stesen tv swasta malam tadi, bekalan kelapa turut mengalami kekurangan yang ketara di beberapa tempat di Semenanjung khususnya di sebelah Pantai Timur dan mengakibatkan kenaikan harga santan.
Harga bahan api dijangka naik lagi
Sementara itu, Gabenor OPEC Iran, Mohammad Ali Khatibi dalam satu kenyataannya dalam laman sesawang Shana, Kementerian Minyak semalam, menjangkakan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa akan mencecah US$100 setong.
Harga komoditi utama dunia itu telah mencecah paras tertingginya semenjak 2008 dengan US$95 setong pada Jumaat lalu, sebelum ditutup pada harga US$93 pada hari yang sama.
Berdasarkan formula apungan harga minyak yang diguna pakai oleh kerajaan, kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia ini akan mempengaruhi harga pengguna bahan api itu di pasaran tempatan.
Pada masa ini harga bahan api terbabit pada setiap liter ialah RM1.90 bagi petrol Ron 95, RON97-RM2.30, diesel-RM1.80 dan gas petroleum cecair (LPG)-RM1.90 bagi setiap kilo gram.
Rasionalisasi subsidi beri kesan kenaikan inflasi 2011
Sementara itu, dalam satu laporan yang diterbitkan oleh CIMB Research sebelum ini, Pemotongan subsidi akan memberi tekanan kepada indeks harga pengguna (CPI).
Menurut Ketua Ekonomi CIMB, Lee Heng Guie langkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi akan menyebabkan kenaikan inflasi yang lebih tinggi pada tahun 2011 dan pengguna akan menerima kesannya.
"Rasionalisasi subsidi yang berterusan akan meningkat kadar inflasi untuk 2011 dan kesannya akan lebih dirasai pada tahun itu.
"Oleh yang demikian, kami meningkatkan ramalan kenaikan CPI lebih tinggi kepada 3% dari 2.5% sebelumnya," kata laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan