Rakyat bergelar pekerja harus mendapat penjelasan sewajarnya sekiranya benar kerajaan berhasrat untuk mempertimbangkan cadangan agar kadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) dinaikkan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud ketika dihubungi Tv Selangor berkata, pendekatan tersebut penting kerana ketiga-tiga pihak yang terbabit, iaitu pekerja, majikan dan pemerintah, mempunyai pengetahuan yang jelas tentang hal tersebut.
"Kalau ia benar-benar serius, maka perkara ini harus diberi perhatian.
"Biasanya hal-hal yang menyentuh tentang kepentingan pekerja ini, pandangan pihak-pihak yang berkenaan patut juga diambil," kata Syed Shahir, mengulaskenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk menaikkan kadar caruman PERKESO.
Menurut Subramaniam, cadangan menaikkan kadar caruman tersebut berpunca daripada nilai pampasan yang dibayar pertubuhan itu kepada golongan pekerja yang meningkat setiap tahun.
Pada 2009 PERKESO terpaksa memperuntukkan sehingga RM1.4 bilion sebagai pampasan kepada pekerja yang terlibat dalam kemalangan berbanding kutipannya hanyalah sekitar RM1.8 bilion setahun.
Justeru menurut Syed Shahir, hal itulah yang perlu dijelaskan dan ia mestilah didatangkan dalam bentuk fakta mahupun kiraan yang tepat dan telus daripada pihak yang bertanggungjawab.
"Pihak pekerja harus ditanya pandangannya, kalau hendak naik ini, naik macam mana, apa kesannya itu yang pertama.
"Kalau sepertimana yang disebut, sekiranya caruman itu kurang daripada apa yang telah dibayar kepada pencarum atau pekerja yang mendapat kecelakaan atau kemalangan, orang ramai hendak tahu berapa yang telah dipungut dan berapa yang telah dibayar untuk kita membuat justifikasi kenapa kenaikan ini diperlukan," tambahnya lagi.
Walaupun menurut Subramaniam, kerajaan tidak berhasrat untuk menaikan kadar caruman itu tersebut pada tahun ini, namun perkara ini harus diberi perhatian serius bermula sekarang, kata Syed Shahir.
Ia bagi mengelakkan sebarang salah faham berlaku kerana umum mengetahui PERKESO turut terlibat dalam pelaburan hartanah dan boleh mendatangkan pelbagai spekulasi di kemudian hari.
"Kita juga maklum, PERKESO atau SOCSO ini turut melabur dalam hartanah. Kita dapati misalnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur PERKESO mempunyai bangunan-bangunan yang dibina dengan duit inilah (caruman pekerja).
"Jadilah tentulah dengan pelaburan ini ada perkiraan yang mana akan mendatangkan hasil kepada PERKESO sendiri.
"Jadi perlu diingatkan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial ini dibina atau dibentuk untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pekerja yang disebut sebagai orang yang diansurankan. Atas dasar itu ia bukanlah badan untuk membuat keuntungan," tegas Syed Shahir lagi.
Untuk rekod, tahun lalu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) telah mendakwa 160 majikan yang didapati gagal menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat.
Sementara kemalangan jalan raya membabitkan pekerja pula, menunjukkan sebanyak 55,186 kemalangan berlaku sepanjang tahun lepas.
Daripada jumlah itu, sebilangan besar adalah membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal sewaktu pergi dan balik kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan