Pengikut

Ahad, 5 Disember 2010

Polis Tahan 70 Peserta Memorandum Air

Polis menangkap sekurang-kurangnya 70 orang dan manakala ribuan lagi ditembak dengan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia bagi menyuraikan perhimpunan bantah kenaikan harga air anjuran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin lain Pakatan Rakyat berjaya menyampaikan memorandum itu kepada wakil Istana Negara sebagaimana yang dirancangkan.

Lebih 15,000 berpakaian baju merah hadir pada perhimpunan itu untuk menyampaikan bantahan mengenai kenaikan harga air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan restu kerajaan persekutuan Umno- Barisan Nasional.

Antara tempat yang menjadi sasaran serangan polis adalah Masjid Negara, dan di hadapan Stesen Keretapi Tanah Melayu.

Perhimpunan aman itu bertukar menjadi kecoh apabila polis mengangkat senjata dan meriam air untuk menyuraikan hadiran yang tidak melakukan sebarang provokasi.

Sebilangan orang ditangkap dalam Masjid Negara manakala yang lain dalam perkarangan masjid itu dan Stesen KTM.

Polis bertindak liar apabila cuba menghalang Tan Sri Khalid sendiri daripada mengadakan sidang media di depan pintu utama Istana Negara.

Meskipun menjadi sasaran pelbagai provokasi oleh polis, Tan Sri Khalid dan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor mencapai hasrat mereka untuk menyampaikan memorandum kepada Istana Negara sebagaimana yang telah diatus dengan wakil Istana.

Antara yang mengiringi Khalid ke Istana Negara ialah Exco kerajan negeri Yaakob Sapari, Elizabeth Wong, Xavier Jayakumar, Iskandar Abdul Samad serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Mereka diiringi ribuan rakyat berbaju merah berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara. Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, polis merempuh Masjid Negara untuk bertindak ke atas kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang berhimpun di situ.

Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.

Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.

Sebelum itu dalam ucapannya Tan Sri Khalid menegaskan penswastaan air pada 2004 lalu membebankan rakyat di Selangor ,Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Usaha kerajaan negeri katanya, adalah untuk menghentikan episod kerakusan rejim terdahulu demi kebajikan rakyat. Khalid juga menyeru ribuan peserta supaya berjalan berarak ke istana dengan tenang dan berdisiplin.

Presiden Persatuan Mahasiswa atau Perwasis, Mohamad Izuddin Zaini memberitahu Tv Selangor, pihaknya berkumpul bersama-sama kerajaan negeri atas tiket kuasa pelajar dalam usaha menyokong kempen 'Kembalikan Hak Air kepada Rakyat'.

Lebih 400 wakil mahasiswa dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) turut menyertai perhimpunan pada hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan