Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan menggantung beliau dan beberapa orang lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk menyelamatkan pemimpin Umno yang terlibat dengan penyelewengan, salah laku dan rasuah.
“Pemimpin BN khasnya Umno takut kerana pendedahan demi pendedahan telah dibuat pada sidang parlimen menyebabkan mereka tidak senang duduk dan kepanasan.
“Sebagai contoh kita telah dedahkan terdapatkan seorang yang rapat dengan bekas Menteri Pertahanan yang mendapat kontrak dari kementerian tersebut berjumlah berbilion ringgit, kita ada nama orang itu, nama syarikat, berapa jumlah kontrak secara lengkap, perkara seperti inilah yang amat digeruni oleh pemimpin BN,” katanya.
Tambahnya, bagi mengelakkan pendedahan itu, beliau dan tiga lagi Ahli Parlimen iaitu Azmin Ali, Karpal Singh dan R.Sivarasa digantung enam bulan.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di Pejabat PAS Paya Dalam, Kawasan Bukit Katil malam tadi.
Hampir 10,000 rakyat negeri Melaka hadir pada program tersebut yang turut menampilkan Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menyentuh isu WikiLeaks, Anwar berkata, isu itu sengaja dibesarkan bagi menutup isu-isu lain sedangkan laporan WikiLeaks tentang pembunuhan Altantuya tidak disiarkan.
“Mana dia laporan WikiLeaks tentang pembunuhan Altantuya, mengapa media menutup cerita ini?
“Mengapa mereka takut untuk mendedahkan isu pembunuhan Altantuya, ini semua tidak lain adalah untuk menyelamatkan Najib?” soalnya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan berani untuk berhadapan dengan semua isu berkenaan dan akan menyaman beberapa akhbar arus perdana serta Dr Mahathir kerana kenyataan mereka yang mengelirukan serta bersifat fitnah merujuk kepada pendedahan oleh WikiLeaks baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan