Pakatan Rakyat, ingatkah siapa yang menubuhkan anda?
Ingatkah siapa yang memberikan mandat kepada anda untuk menerajui lima negeri?
Ingatkah mengapa orang-orang ini memilih anda?
Adakah anda telah lupa terhadap janji-janjimu pada 2008?
Adakah anda telah lupa siapa musuh sebenar?
Itulah antara persoalan-persoalan yang perlu diungkit dan dijawab dengan jujur dan berani oleh semua ahli Pakatan Rakyat menjelang konvesyen PR ke 2, 19 Disember ini di Pulau Pinang.
Apa yang rakyat inginkan pada 2008 masih lagi relevan pada hari ini iaitu sebuah kerajaan persekutuan yang jauh lebih baik daripada Barisan Nasional, akan tetapi berapa kerat pemimpin PR yang betul-betul dapat menghayati apa yang diharapkan rakyat?
Pada 2008, PR menang besar kerana rakyat berasa mual dengan tindak-tanduk kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama penasihat keluarganya, Khairy Jamaluddin yang sekarang ini tengah menerajui Pemuda Umno yang disifatkan paling lemah dalam sejarah dari kaca mata kebanyakan penganalisa politik.
Pada waktu 2008 juga, rakyat tidak mengambil peduli akan prestasi PR terdahulu (sememangnya kita tiada apa-apa yang boleh ditunjukkan), di mana segala kemarahan hanya tertumpu pada prestasi Barisan Nasional terutamanya Umno.
Mereka dilihat terlalu angkuh dengan rasuah dan penyelewengan melampau, bahkan seolah-olah ‘menjadikan kata-kata mereka sebagai undang-undang negara’ ditambah pula dengan seorang perdana menteri yang terkenal dengan sikap tidurnya - akhirnya menyumbang kepada kemenangan besar PR yang tidak pernah diduganya.
Akan tetapi, segalanya akan berubah pada pilihanraya umum ke 13.
Selepas lebih 1,000 hari rakyat melihat PR berkembang, berpolitik, berkebajikan dan berekonomi di negeri sendiri, adakah PR telah mencapai ‘expectation’ yang diletakkan rakyat pada 2008?
Adakah rakyat sudah dapat merasai perubahan hidup, cara kerajaan negeri beroperasi yang jauh berbeza daripada kerajaan Barisan Nasional di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah?
Adakah rakyat sudah memiliki keyakinan bahawa bahtera PR adalah jauh lebih baik daripada Umno dan Barisan Nasional?
APA YANG RAKYAT NAK?
Hasrat rakyat 2008:
Kita tak nak satu kerajaan yang menipu kita dengan memutar-belitkan fakta seperti BN.
Kita tak nak satu kerajaan yang menyelindungkan fakta daripada pengetahuan kita seperti BN.
Kita tak nak satu kerajaan yang guna duit sewenang-wenangnya seperti BN.
Kita tak nak satu kerajaan yang bersifat tidak adil dalam pengadilannya seperti BN.
Kita tak nak satu kerajaan yang asyik memeras ugut dengan ISA seperti BN.
Kita tak nak satu kerajaan yang tidak adil dalam memberikan kebajikan kepada rakyat seperti BN.
Kita tak nak satu kerajaan yang hanya ingin mengkayakan kroni secara rasuah seperti BN.
Kita tak nak satu kerajaan yang sombong dengan rakyatnya seperti BN.
Pada tahun 2008, hasrat rakyat hanya memfokuskan kepada perkataan “seperti BN”, manakala isi di tengah setiap ayatnya di atas hanyalah bersifat ‘harapan’.
Kali ini, tsunami menggunakan ungkapan ‘seperti BN’ telah berakhir, isi-isi ayat di atas akan menjadi fokus rakyat untuk pilihanraya umum yang akan datang.
Betul ke empat kerajaan negeri PR bersifat kerajaan berkebajikan?
Betul ke empat kerajaan negeri PR bersifat ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ yang diwar-warkan oleh BN?
Betul ke empat kerajaan negeri PR ini bersih daripada rasuah dan telus dalam pentadbirannya?
Betul ke keadaan ekonomi empat kerajaan negeri PR ini sudah bertambah baik daripada zaman pra-2008?
Betul ke empat kerajaan negeri PR adil dalam mengagihkan pertolongan kepada rakyat?
Betul ke empat kerajaan negeri PR tidak mengamalkan unsur kronisme dalam penganugerahan projek kerajaan?
Persoalan di atas sukar dijawab dan diterangkan untuk para pengundi yang tidak mengikuti perkembangan politik. Yang terasa keadaan bertambah baik, akan terus memberikan undi kepada PR, yang terasa sebaliknya akan memberikan undi kepada BN.
Namun, adakah kita perasan bahawa hanya empat negeri PR sahaja diberikan fokus oleh media arus perdana yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional?
Tanyalah sekitar kita, kebanyakan kita lebih tahu mengenai masalah yang berlaku di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan daripada negeri-negeri lain di bawah kekuasaan Umno-BN.
Kebaikan yang berlaku di empat negeri PR pula jarang ditonjolkan, namun sedarkah kita, Umno-BN juga tidak dapat menonjolkan apa-apa kebaikan daripada negeri-negeri yang dikuasai mereka kerana sememangnya pentadbiran mereka lebih teruk.
Kesimpulan:
Empat negeri PR – masalah dibesarkan, kebaikan dipadamkan.
Sembilan negeri BN – masalah dipadamkan, kebaikan … tiada yang boleh dilaporkan.
Jadi, konvesyen PR perlu memikirkan satu cara untuk menukar perkara di atas dengan menubuhkan satu badan media PR sebagai penyalur berita kepada semua laman-laman dan akhbar-akhbar alternatif.
Tugas badan media PR ini:
Empat negeri PR – kebaikan dibesarkan, masalah dilaporkan.
Sembilan negeri BN – kebaikan… (bak kata di atas tiada), masalah dilaporkan dan ia automatik akan menjadi besar kerana tiada kebaikan yang dapat dilaporkan.
Selain itu, perbandingan prestasi antara negeri-negeri PR yang setaraf dengan negeri-negeri BN dari sudut ekonomi perlu dibuat untuk menyedarkan rakyat tentang keberkesanan pentadbiran PR.
Contohnya, prestasi negeri Selangor dibandingkan dengan negeri Johor, dari tahun 2007 sehingga 2010 untuk rakyat menilai sejauh mana prestasi pentadbiran ala PR dan BN.
Begitu juga dengan Kedah, boleh dibandingkan dengan negeri Pahang, Kelantan dengan Terengganu, dan Pulau Pinang dengan Melaka dan Negeri Sembilan. Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak pula, perbandingan prestasi untuk empat tahun yang lepas sudah mencukupi.
Berita-berita dan info-info sebegini, selain dihantar ke media-media yang sanggup menyiarkannya, perlu juga dimuat dalam bentuk ‘presentation’ untuk kegunaan ceramah dan penyebaran maklumat melalui CD, dan kertas A4.
Untuk memastikan badan media ini berjaya, empat negeri PR mesti bersedia untuk menyumbangkan dana untuk memacu perkembangan badan media ini kerana masa sudah semakin suntuk untuk PR menyediakan diri sebelum tibanya pilihan raya umum ke 13.
Semua ini perlu dilakukan dengan bijak dan pantas, kerana pilihanraya umum akan diadakan bila-bila masa dari bulan Mac depan sehinggalah penangguhan pemilihan Umno tamat tempohnya.
Isu-isu yang perlu dijawab dengan sepakat untuk patahkan serangan BN
Selain menubuhkan badan media untuk menyebarkan berita positif negeri-negeri PR, semua pemimpin tertinggi perlu menyediakan jawapan yang sepakat dan menyakinkan mengenai beberapa isu di bawah yang akan digunakan Umno/ BN untuk menyerang PR.
Walaupun ada antara isu-isu di bawah sudah dijawab kerana melibatkan kepentingan parti masing-masing, namun ia tetap perlu dijawab kerana rakyat perlu tahu apakah jawapan sebenar daripada ketiga-tiga parti politik PR.
Serangan dari Umno:
1. PAS dan PKR menjual maruah dan kedudukan istimewa Melayu dengan menghumban konsep Ketuanan Melayu ciptaan Umno.
2. PAS kuda DAP di Perak, dan di Penang.
3. Melayu hilang kuasa jika PR berkuasa.
4. PAS menggadai prinsip Islam untuk politik – membolehkan orang bukan Islam membaca Quran, memasuki masjid dan sebagainya.
5. Kredibiliti pemilihan parti PKR. Bagaimana nak jawab serangan Umno – ‘jika anda kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) teruk, pemilihan PKR lagilah teruk’?
6. Isu-isu mengenai Datuk Zaid Ibrahim.
7. Fobia DAP terhadap negara Islam dan kenyataan Karpal ‘langkah mayat sahaja dahulu’.
8. Orang Melayu di Penang dianiaya, tanah Balik Pulau, Komtar dan peniaga bazaar Ramadhan dan sebagainya.
9. Isu pasir di Selangor.
10. Isu air di Selangor – mengapa nak syarikat konsesi di bawah kerajaan negeri?
11. Isu kerajaan perpaduan untuk mengorat PAS untuk bersama Umno.
12. Isu timbalan perdana menteri.
13. Isu PKNS dan Yayasan Selangor.
14. Isu Tan Sri Khalid tidak disukai ahli-ahli parti sendiri.
15. Isu diskaun kepada rumah RM 500,000 ke atas yang dicadang DAP.
16. Isu liwat.
Serangan dari MCA, MIC dan sebagainya:
1. Negara Islam yang dimainkan untuk takutkan orang bukan Islam dan lagakan DAP dan PAS.
Bagaimana DAP harus menjawab untuk tidak nampak ‘fobia’ terhadap negara Islam, dan bagaimanakah PAS harus mengupas isu ini supaya tidak menyusahkan DAP untuk menjawab?
2. Prestasi kerajaan Kedah – apa sumbangan negeri kepada pembangunan kehidupan pelbagai kaum? Isu tanah Melayu dan isu perumahan yang sering dibangkitkan oleh Gerakan?
3. Isu biasiswa negeri Selangor – mengapa tidak cukup penglibatan dari semua kaum? Punca?
4. Perak – walaupun DAP mempunyai paling ramai Adun, namun ia tetap mendokong calon PAS jadi Menteri Besar kerana ia senyap-senyap akan menyokong negara Islam cadangan PAS sekiranya berkuasa kelak.
5. DAP kuda PAS.
6. Isu Kampung Buah Pala Penang.
Serangan yang ditimbulkan sendiri
1. PAS tetap dokong negara Islam, secara berperingkat – DAP tetap menyokong dasar sekular – bagaimana pula hujah dari segi perlembagaan?
2. Isu dalaman parti PKR, pemilihan PKR dan pemimpin yang bakal melompat ke parti Datuk Zaid Ibrahim.
3. DAP lebih menonjol dalam memperjuangkan isu-isu orang Cina dari segi biasiswa, penerimaan bantuan dan politik.
4. Pemimpin yang timbulkan polemik apabila tersilap kata semasa memberikan temuramah kepada media… peratusan akan meningkat apabila pilihanraya makin dekat kerana lebih ramai yang ingin ditemuramah untuk menonjolkan diri.
5. Prestasi teruk Adun dan Ahli Parlimen.
6. Perbalahan pembahagian kerusi.
7. Ketuanan Islam, Ketuanan Melayu dan Ketuanan Rakyat.
Semua isu di atas perlu diberikan jawapan yang sepakat, menyakinkan dan boleh terpalit kepada muka Umno-BN yang bertanya oleh ketiga-tiga parti DAP, PAS dan PKR menjelang konvesyen ke 2 PR nanti… dalam erti kata lain, jawapan yang bersifat ‘bertahan sambil menyerang.’
Sehingga sini saja untuk kali ini, minggu depan saya akan mengupas lanjut mengenai strategi PR untuk menghadapi pilihanraya untuk dibincangkan konvesyen PR nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan