Pengikut

Rabu, 15 Disember 2010

Anwar cabar Najib sangkal info kaitkan kes Altantuya

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyangkal pendedahan WikiLeaks yang mengaitkannya dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh empat tahun lalu.

Ketua Pembangkang malam tadi mencabar Najib Razak melawan dakwaan itu sebagaimana dilakukan oleh beliau tanpa hanya mengetepikan pendedahan tersebut atas alasan ia perkara kecil.

Anwar menyatakan perkara demikian pada ceramahnya di Taman Melati di sini dengan kehadiran ribuan orang ramai walaupun pihak polis mengenakan pelbagai sekatan.

"Saya akan mempertahankan diri saya dan integriti saya. Saya mahu tanya Najib, adakah anda boleh mencabar Singapura agar membuktikan dakwaan itu. Itu sebabnya media Umno tidak berani melaporkan perkara itu.

"Apabila saya dituduh, saya akan melawan, tetapi apabila Najib dituduh apa beliau kata? Ini hanya perkara kecil," kata Anwar.

Dalam ceramahnya, Anwar beberapa kali mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang turut didedahkan oleh kabel-kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang dibawa oleh WikiLeaks.

Najib telah berkali-kali menafikan dakwaan yang mengaitkan wanita itu dengan beliau.

Ceramahnya di Taman Melati malam tadi merupakan yang pertama selepas pendedahan WikiLeaks yang dihebahkan melalui media-media arus perdana.

Anwar dijadual mengadakan ceramah di Melaka, Negeri Sembilan selepas ini, sebelum mengakhiri jelajah ceramahnya di Pulau Pinang sempena konvensyen Pakatan Rakyat.

"Apa itu WikiLeaks? Anda ada bukti? OK, saya akan menjawab dan saya telah meminta peguam saya menjawab. Adakah anda ada bukti? Adakah anda ada bukti teknikal?

"Jika Lee Kuan Yew mahu pergi ke mahkamah, sila teruskan dan bawa dia ke mahkamah. Biar beliau jadi saksi, saya tiada masalah. Bukan masalah saya sama ada anda percaya atau tidak," kata Anwar lagi yang merujuk kepada laporan akhbar Australia.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan.

Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, "Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang."

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

"ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat," kata kabel itu.

Di samping Anwar, turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua, Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.

Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.

"Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini," kata Tian.

Petang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.

Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri ceramah perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan