Pengikut

Khamis, 11 November 2010

Mufti Perak kata Zambry tidak syirik!

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria didakwa cuba menghalalkan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meletakkan ancak iaitu menaikkan tiang seri rumah di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar, bulan lalu.

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim berkata Harussani sebenarnya belum menjawab apa yang dipersoalkan oleh pemuda PAS Perak, mengenai upacara itu sama ada bercanggah dengan Islam atau tidak.

"Jawapannya juga saya lihat untuk menyelamatkan Zambry. Namun bagaimana mereka yang hadir pada hari itu," katanya.

Harussani seperti dilapor Berita Harian berkata, Zambry, tidak melakukan syirik dan khurafat kerana tidak mempunyai niat melakukan perkara itu, malah tidak mengetahui majlis berkenaan yang diatur penduduk boleh membawa kepada unsur syirik.

Dewan Pemuda PAS baru-baru ini menghantar memorandum kepada Harussani mendakwa Zambry melanggar ajaran Islam dengan menghadiri upacara meletakkan ancak pada tiang seri rumah.

"Sesudah ini adakah bermakna siapapun boleh hadir dalam apa sahaja yang bercanggah dengan hukum Islam, asalkan tidak mempunyai niat melakukan perkara itu?," soalnya lagi.

Khalil yang juga Adun Titi Serong berkata, apa yang aneh apabila Zambry beria-ia mempertahankan tindakannya dengan mengungkit perbuatan beliau dan Datuk Seri Muhammad Nizar yang memegang lilin pada sidang akhbar berkaitan kematian Teoh beng Hock.

"Saya menafikan dengan keras bahawa kami melakukan upacara sembahyang. Seingat saya ianya sebagai tanda protes kepada kezaliman sehingga menyebabkan kematian seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya tidak berlaku.

"Namun dalam soal ini Harussani ternyata tidak adil dengan berpandukan kepada gambar semata-mata dan soalan yang dikemukan oleh wartawan dia terus mengatakan tindakan kami itu haram," katanya lagi.

Harussani sebelum ini berkata tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah satu perbuatan haram di sisi agama.

Perbuatan itu juga ujarnya menyalahi hukum Islam kerana seolah-olah menggambarkan ajaran kristian.

"Kalau begitulah kenapakah tindakan Zambry tidak dikatakan oleh Harusssani adalah menggambarkan ajaran agama Hindu dan juga hukumnya haram.

"Sebenarnya memegang lilin dalam masyarakat cina tidak sekadar merujuk kepada pemujaan, atau berkabung.

"Sebaliknya, dalam masyarakat cina, memegang lilin tidak sekadar dilakukan dikala berlaku kematian, bahkan ia digunakan sebagai satu symbol dalam melakukan sesuatu protes," katanya.

Sehubungan itu, disebabkan perbuatan Zambry tersebut dakwanya serius dan menyangkut akidah umat Islam, beliau turut mencadangkan agar Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan