Datuk Zaid Ibrahim perlu mengikis sifat merajuk ’ala UMNO’ sekiranya ikhlas berjuang atas platform PKR.
Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Wan Salleh Wan Isa berkata, tindakan Zaid menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletak semua jawatan dalam parti hanya disebabkan kecewa dengan kegagalan parti menangani manipulasi dalam pemilihannya adalah tidak tepat kerana proses itu lebih dianggap ‘pemilihan keluarga’ semata-mata.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang menjelaskan tiada seorang pun dalam kalangan pucuk pimpinan parti campur tangan dalam urusan pemilihan.
“Zaid harus faham, ini pertandingan keluarga, mengapa perlu heboh kepada media cakap ada orang manipulasi pemilihan parti, sedangkan beliau boleh membuat aduan kepada JPP atau pucuk kepimpinan tertinggi?
“Saya fikir Zaid tidak perlu rasa cemburu dengan calon pesaing jawatan Timbalan Presiden lain dan sekiranya benar-benar ikhlas berjuang untuk parti, tidak perlu meletak semua jawatan dan hebohkan masalah dalaman parti kepada media,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Wan Salleh berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan Zaid meletak semua jawatan dalam parti hanya disebabkan kecewa dan sebagai seorang pejuang, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seharusnya menolak kepentingan peribadi berbanding parti.
Menurutnya, terdapat tiga faktor yang dirasakan menyumbang kepada kekurangan undi diperolehi Zaid dalam proses pemilihan setakat ini iaitu orang baru, keyakinan ahli PKR sendiri terhadap calon yang berkhidmat lebih lama dan faktor masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan