Para pengundi Galas diminta jangan 'timbang-timbang' undi anda tetapi 'bulatkan' tekad anda untuk mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil ini.
Inilah antara mesej yang disampaikan menjelang para pengundi Galas dan Batu Sapi membuat pilihan mereka hari ini.
Pelbagai mesej dihantarkan kepada para pengundi melalui sms, twitter, blog dan sebagainya dan kini kempen tidak ada sempadan lagi walaupun berdepan laut di Batu Sapi atau hutan Hulu Kelantan di Galas.
"Kepada pengundi x2 GALAS, janganlah "TIMBANG"x2 undi anda, fikirlah "BULAT"x2 dan mengundi. Selamat mengundi," tulis P Sugumaran, aktivis DAP dari Ipoh melalui twitternya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil Galas iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.
Kerusi DUN Galas mempunyai 13 daerah mengundi termasuk Lojing (606 pengundi), Sungai Ber (411 pengundi), Belatim (160 pengundi), Balar (232 pengundi), Bihai (278 pengundi), Hau (254 pengundi), Kampung Pulai (471 pengundi), Kampung Baru (2,150 pengundi), Bandar Lama Gua Musang (1,562 pengundi), Bandar Baru Gua Musang (1,058 pengundi), Kampung Batu Papan (1,739 pengundi), Lepan Tupai (593 pengundi) dan Sungai Terah (1,912 pengundi).
Pertembungan berlaku secara terus antara calon Pakatan dari PAS iaitu Dr Zulkefli Muhamad menentang calon BN dari Umno, Abdul Aziz Yusof.
Malam tadi, pelbagai pihak meramalkan kemenangan berpihak kepada PAS dengan majoriti yang kecil. Hujan yang sangat lebat malam tadi mengekang pergerakan banyak pihak, namun petugas PAS diminta berkawal sepanjang masa untuk mengekang sebarang cubaan salah laku.
Pagi ini, calon PAS, Dr Zulkefli dengan diiringi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz mula melawat pusat-pusat pengundian.
Batu Sapi
Di Batu Sapi pula, pertembuangan berlaku tiga penjuru antara calon Pakatan dari PKR, Ansari Abdullah menentang calon BN, Linda Tsen Thau Lin dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee.
Pakatan berusaha untuk mendapatkan undi calon beragama Islam apabila meletakkan Ansari kerana 59 peratus pengundi adalah beragama Islam di samping berusaha untuk mendapatkan undi 38 peratus Cina yang bakal dikongsi dengan calon BN dan SAPP.
Centre for Strategic Engagement (Cense) - sebuah organisasi penyelidikan polisi politik dan awam - dalam satu laporannya mengenai Batu Sapi, meramalkan BN boleh memenangi pilihan raya kecil itu dengan memperolehi 7,394 undi atau 45 peratus daripada anggaran 18,273 pemilih yang keluar mengundi Khamis ini.
Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN Edmund Chong Ket Wah, yang meninggal dunia tiga minggu lalu dalam kemalangan jalan raya, menang kerusi parlimen itu dengan memperolehi 9,479 undi, untuk menewaskan calon bebas Chong Kwong Wing, yang mendapat 5,771 undi.
PKR pula diramal mereka menduduki tempat kedua dalam persaingan sengit dengan SAPP. PKR dijangka memperolehi 4,597 atau 28 peratus undi, manakala SAPP pula dianggarkan mampu mengautkan 4,282 atau 26 peratus undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan