UNTUK menjadi popular di negara ini bukan payah sangat. Anda tidak payah berusaha bertahun-tahun atau mengemukakan penemuan baru atau pun idea baru atau pun melakukan kerja-kerja anih dan ganjil, atau pun terlalu berjasa kepada negara.
Anda tidak payah menjadi pelumba lari 100 meter atau ahli tinjau peringkat heavyweight atau pelontar cakera sehingga 600 meter jauhnya.
Anda juga tidak perlu memasuki berbarisan panjang untuk melalui test bagi menyertai Akademi Fantasia ataupun rancangan realiti Imam Muda. Tetapi cukup untuk ada menyertai mana-mana parti komponen Paatan Rakyat, baik Pas, PKR atau DAP. Anda masuk sekejap, berak dalam mana-mana ruang dalam rumah parti berkenaan kemudian anda keluar bawa punggung sambil memburukkan parti berkenaan dan pemimpinya. InsyaAllah anda akan jadi popular. Sekali mata saja anda akan dapat menawan semua media massa negara ini.
Pasti anda akan meletup. Anda akan mendapat liputan meluas oleh media massa. Segala dosa anda akan dilupai dan anda dianggap manusia suci yang turun dari langit bersama hujan batu. Wajah anda akan terpampang di semua saluran tv kerajaan, berbayar atau swasta- sampai orang tengok naik muaklah. Wajah dan muka anda juga akan terpampang di semua surat khabar, baik arus perdana dan akhbar nyamuk. Tidak terlupa juga anda akan disorot dan diulas oleh bloger atau pun mendapat liputan istimewa dari protal berita.
TV pula akan berebut untuk memanggil anda menjadi ahli panel - memperkata dan memburukkan parti yang baru anda tinggalkan itu. Anda juga akan diletakkan di kerusi empuk sehingga terlindung punggung anda yang bercepuah dengan najis.
Tidak mustahil juga kalau anda rajin dan kreatif anda akan mendapat upah dan wang dengan tindakan anda itu apabila anda sanggup membuat road show dengan Umno. Untuk ini anda kena cari seorang promoter yang baik dan cekap. Bolehlah untuk hidup setahun dua tanpa melakukan kerja-kerja biasa.
Anda jangan masuk parti kompnen BN. Anda tidak akan popular. Malahan anda akan dilupakan terus. Tidak ada surat khabar berminat untuk membuat liputan mengenai anda. Kalau anda masuk Umno kemudian esok anda keluar, lusa anda akan menjadi gemula kepada media massa terutama RTM, TV3 atau pun Astro Awani. Mereka tiak berminat untuk membuat liputan kepada mereka walaupun hujah dan alasan anda meninggalkan parti berkenaan mempunyai sebab-sebab yang konkrit.
Apa yang berlaku ke atas bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Kelantan dan bekas calon Umno tahun 1995 Sabree Shafii adalah jelas. Kenyataan dan pengumuman beliau meninggalkan Umno 1 November lalu langsung mendapat liputan media massa. Media massa menyembunyikan berita itu seolah-olah tindakan Sabree itu tidak memberi apa-apa kesan kepada BN.
Apa lagi kalau anda yang keluar dari parti Pakatan Rakyat, anda menghentam balik parti anda itu. Meluapi jasa pati itu yang memberikan anda kerusi dan kedudukan, anda caci dan cerca para pemimpinnya tertingginya. Segala ludah yang anda buangkan bersama kahak semasa dalam parti berkenaan anda kena raut dan sedut balik. Tidak kisah sama ada hujah yang anda perkatakan itu benar atau tidak, atau bohong sama sekali anda tetap menjadi perhatian utama. Akan dapat tempat istimewa. Kata-kata anda akan disanjung bagaikan setongkol emas.
Kalaupun sebelm ini anda mengecam Umno, mengata huduh kepada pemimpinnya, memburukkan isteri perdana menteri atau PM sendiri, jangan bimbang. Tetapi kalau anda keluar parti Pakatan Rakyat anda akan dianggap sebagai hero. Kenyataan ataupun ulasan anda akan disiarkan di muka depan, ia menjadi berita yang istimewa dalam tv.
Begitulah keadaanya dan apa yang ada di Malaysia ini. Ianya bukan sukar sangat dan anda tidak pun memerlukan wang yang banyak untuk menjadi popular dalam masa segera. Banyak contoh kalau hendak ditunjukkan bukti bagaimana mereka yang mulanya dianggap haprak dan tidak berguna oleh media massa arus perdana, tetapi bertukar menjadi sang dewa oleh media sama apabila mereka berpaling tadah menghentam parti Pakatan Rakyat dan menyatakan sokongan kepada Umno.
Nama-nama seperti Inchek Ibrahim Ali, Ezam Mohmad Noor, lima orang wakil rakyat Pakatan Rakyat (tiga Adun dan empat MP) yang berpaling tadah dan menjilat ludah mereka, dan terbaru Zaid Ibrahim adalah bukti nyata. Orang ini adalah orang yang dulunya telah mengeji atau meletakkan pemimpin Umno sama busuk dengan tahi. Tetapi kenapa hari ini mereka disanjung.
Mereka dipulau atau dipandang sepi oleh media arus perdana. Bagi media arus perdana mereka seolah sudah pun tidak wujud lagi. Tetapi apa jadi setelah mereka menunnging punggung ke langit, dan mengintai semula parti mereka melalui celah kangkang. Wah... mereka akan dipuji setinggi langit. Kata-kata mereka diambil sebagai kata-kata hikmah. Mereka secara tidak langsung dijadikan senjanta untuk membunuh kawan dan parti asal mereka. Mereka diangap sebagai manusia maksum yang diturun khas dari syurga.
Mengenai hakikat ini ada dua perkara yang perlu dinilai dan dilihat. Pertama ialah mengenai wibawa media massa berkenaan. Dan kedua apakah nilai manusia atau ahli politik yang bersikap kacang lupakan kulit ataupun berpaling tadah itu.
Apakah media itu boleh dianggap berwibawa dan berintergriti kerana jelas mereka mempunyai dua pandangan terhadap satu manusia yang mempunyai dua sifat berbeza. Selagi tokoh itu berada dalam parti selain Umno mereka disepikan dan pandangan mereka tidak disorot pun. Sebaliknya sesusah mereka kembali kepada Umno maka mereka diterima dan menganggap pandangan mereka bernas dan tepat? Seolah-olah selama mereka berada dalam parti Pakatan Rakyat mereka sedang menuntut di sebuah universiti dan sesudah tamat mereka keluar dengan ilmu yang penuh dan kembali kepada parti Umno.
Begitu juga dengan orang-orang berkenaan. Di manakah prinsip mereka. Satu masa mereka ditebas dan ditebang oleh media berkenaan, kemudain selepas mereka berpaling tadah mereka akan dipuji di puja oleh media berkenaan. Mereka juga turut sama mengecam media massa berkenaan kerana mengalpakan mereka. Tetapi apabila mereka keluar dari parti pembangkang mereka sendiri menerima media massa berkenaan sebagai adil dan saksama. Jelas situasi ini penuh hipokrasi.
Mungkin buat media massa demikian dan orang yang demikian mereka tidak merasa apa-apa. Maruah mereka juga sudah hilang entah ke mana. Mereka sudah tidak pedulikan keada soal maruah dan moral lagi. Tetapi bagaimana dengan pemerhati, dengan rakyat dan pengundi dalam menilai sikap dan sifat media massa dan orang berkenaan?
Apakah media itu masih boleh dipercayai dan begitu juga dengan sosok-sosok berkenaan? Bolehkah dipercayai setiap kata-kata mereka selepas ini sedang sebelum ini mereka diburukkan oleh media massa itu sendiri. Sama-samalah kita memikirkan fenomena ini agar kita juga tidak ikut terjadi seperti media massa dan orang-orang politik yang tidak lekat unjap dan munafik herbi itu.
Dari MSO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan