PEMILIHAN di dalam PKR telah pun bermula hari ini dengan beberapa Negeri akan mengundi memilih pimpinan tertinggi PKR. Jawatan paling hangat adalah jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga jawatan Ketua AMK. Kempen bagi kedua-dua jawatan ini menjadi berita panas di dalam kebanyakan blog pro PR dengan berbagai persepsi. Blog pro Umno juga dilihat berminat untuk campur tangan, mungkin mereka sudah jemu dengan karenah Umno itu sendiri.
Jawatan Timbalan Presiden PKR menyaksikan tiga calon bertanding. Calon popular bagi jawatan ini YB Azmin akan menghadapi dua lagi rakannya iaitu Dato Zaid Ibrahim dan juga Sdr Mustafa Kamil Ayub. Jika dilihat dari luar, pertandingan jawatan ini sebenarnya adalah di antara YB Azmin dan Dato Zaid Ibrahim. Kedua-dua mereka mempunyai penyokong masing-masing dan sudah tentu para penyokongnya akan berkempen habis-habisan samada melalui blog mahupun Face Book. Perbahasan di antara kedua-dua penyokong amat menarik untuk dikuti.
Masuk hari mengundi bermula hari ini, penyokong-penyokong Dato Zaid telah memulakan `perang saraf'. Bermula di Pahang, dikatakan penyokong-penyokong Dato Zaid telah berpaling arah kununnya tidak mempunyai bantuan kewangan. Diberitakan ketua kempen Dato Zaid dan orang-orangnya kini telah meninggalkan Pahang untuk menyertai kempen PRK di Batu Sapi dan Galas. Tujuan mereka menyebut berita ini adalah untuk menunjukkan betapa Dato Zaid tidak pernah memberikan bantuan kewangan untuk berkempen, lantaran itu mereka `lari' dari Pahang. Ini bermakna, Dato Zaid tidak menggunakan wang untuk berkempen. Ertikata, Dato Zaid itu calon yang `bersih'.
Apabila menggambarkan Dato Zaid itu calon yang bersih, maka sudah tentu mereka berharap semua ahli yang mengundi nanti akan memilih Dato Zaid sebagai Timbalan Presiden PKR. Maka, cerita ini di war-warkan sebagai `strategi perang saraf' untuk menyekat sokongan terhadap YB Azmin. Apakah para penyokong YB Azmin akan menarik nafas lega dengan berita sedemikian? YB Azmin sudah tentu mahir membaca strategi sebegini.
Sebelum ini, Dato Zaid dikatakan menggunakan strategi mengharapkan simpati ahli-ahli PKR. Beliau sering mengeluh seolah-olah beliau di`anak tirikan' oleh pimpinan atasan PKR, kununnya ada sekatan untuk beliau berkempen, bahkan Dato Zaid juga bimbang beliau akan di`Ghafar Baba'kan sekiranya beliau tewas di dalam perebutan jawatan ini. Ini semua strategi `simpati' yang mudah dikesan dan ternyata gagal untuk menarik perhatian. Oleh yang demikian, strategi lain harus diatur.
Strategi `Perang Saraf' dengan menggambarkan bahawa YB Azmin mungkin menang dengan mudah kerana beberapa orang penyokong kuat Dato Zaid dikatakan kini berpaling tadah. Mungkin strategi ini untuk `melenakan' jentera kempen YB Azmin. Sehubungan itu, kepada semua penyokong YB Azmin mereka hendaklah sentiasa bekerja lebih kuat agar YB Azmin berjaya dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PKR.
YB Azmin sememangnya layak untuk jawatan nombor dua itu bukan kerana beliau dikatakan paling rapat dengan DS Anwar dan bukan juga kerana beliau dikatakan `tidak sehaluan' dengan DS Wan Azizah. Beliau layak kerana beliau adalah di antara tokoh PKR yang terawal berjuang di dalam parti dan beliau telah diuji kesetiaannya.
Lain-lain persepsi buruk terhadap beliau perlu dikesampingkan kerana itu lumrah pertandingan, yang penting kita berfikir dengan matang berpandukan fakta yang jelas. Jika diikutkan persepsi, pemilihan pimpinan di dalam PAS sendiri pun penuh dengan persepsi tetapi akhirnya ahli-ahli PAS dapat membuat keputusan dengan bijak.
Oleh: WFAUZDIN NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan