Pengikut

Sabtu, 18 September 2010

PAS Ikrar Pertahan Hubungan Baik Pelbagai Kaum

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa semua etnik yang membina negara Malaysia perlu dilayan dengan adil dan saksama dan ini merupakan asas yang perlu dipertahankan.

Kata beliau, Islam yang menekankan kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi.

Untuk tujuan itu, PAS katanya bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum di negara ini dengan berasaskan landasan Islam sebenar bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri.

"Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar," katanya dalam perutusan sempena penubuhan Hari Malaysia pada 16 September 1963.

Sambil memetik ucapannya dalam Muktamar Agung PAS lalu, beliau juga menghuraikan bahawa rakyat Malaysia adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik kerana berada dalam negara yang mengandungi pelbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara.

"Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama," tambahnya.

Menurut beliau, kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan Malaysia ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar.

"Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan Umno-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan