Badan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap ke atas seorang penulis blog yang dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara di negara ini.
Dalam satu kenyataan media Isnin lalu, Koordinator Suaram, Hasbeemasputra Abu Bakar berkata badan itu terkejut dengan tindakan MCMC untuk mendakwa Irwan Abdul Rahman berhubung tulisan satira dalam blog beliau bertajuk “TNB to Sue WWF over Earth Hour” di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Irwan, 36, atau nama samarannya Hasan Skodeng yang juga bertugas sebagai Pengarang Malay Mail di dakwa mengguna aplikasi internet bagi menghantar komen bersifat palsu pada Mac lalu.
"Dakwaan MCMC tersebut adalah amat tidak berasas kerana ia menganggap penulisan blog yang bersifat satira dan jenaka sebagai sesuatu yang berniat jahat.
"Tetapi yang lebih merisaukan ialah tindakan ini nampaknya contoh terbaru dalam usaha kerajaan untuk mengecilkan ruang bagi kebebasan bersuara serta diskusi dan seterusnya membisukan suara bangkangan," tegas Hasbeemasputra.
Suaram itu memberi contoh tindakan ke atas hos popular Radio 98.8FM, Jamaluddin Ibrahim dan Pengarang Sarawak Tribune, Paul Si sebagai trend yang jelas dan terancang untuk menekan hak kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia.
Badan itu juga berkata is memandang berat pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai penubuhan jawatankuasa pantau berita palsu di dalam internet yang boleh 'mengugat perpaduan dan ketegangan kaum' yang dilihat sebagai cengkaman kerajaan terhadap penggunaan internet.
"Penubuhan jawatankuasa ini menimbulkan masalah kerana rekod menunjukkan tindakan kerajaan menangani isu berhubung perkauman selalunya berat sebelah, dengan individu dan organisasi yang dikaitkan dengan Umno berterusan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman secara bebas dan berani tanpa sebarang tindakan atau hukuman daripada pihak berkuasa," tegas Hasbeemasputra lagi.
Justeru itu, Suaram mendesak agar MCMC segera menggugurkan dakwaan terhadap Irwan disampimng menggesa kerajaan menghentikan intimidasi dan tindakan terhadap mereka yang hanya menggunakan hak asasi untuk bersuara dan berekspresi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan