Ketua Angakatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menimbang untuk menyaman Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kerana menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin politik berhubung dakwaan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini yang mengatakan beliau mengaitkan pasukan keselamatan dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
"Saya harap Datuk Khalid tolong fikir dululah sebelum bercakap seperti ini yang pada saya merupakan satu perkara yang cukup memalukan.
"Saya akan merujuk perkara ini dengan rakan-rakan saya yang juga peguam, kalau ada kes saya tidak teragak untuk mengambil tindakan saman kerana ini mencabar kredibiliti saya," kata Shamsul pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman petang tadi.
Laporan akhbar itu menyatakan pihak polis akan memanggil Shamsul berkaitan kenyataan beliau tersebut.
"Saya ingin nyatakan di sini tidak tahu menahu kes ini tetapi saya sedia bekerjasama
"Polis mahu membuka kertas siasatan terhadap saya kononnya saya bercakap ikut sedap mulut dan inilah kenyataan paling merepek yang pernah saya dengar. Saya tidak boleh terima kenyataan seorang Ketua Polis Selangor bercakap seperti ini.
"Tugas menjaga keselamatan bukan hanya semata-mata tanggungjawab pasukan keselamatan. Keselamatan di negara ini sudah menjadi tanggungjawab rakyat," katanya.
Shamsul menafikan beliau membuat kenyataan menuduh pihak polis mempunyai hubunhgan dengan kes pembunuhan jutawan koslmetik tersebut.
"Saya rakamkan ucapan takziah di atas pembunuhan kejam seorang wanita dan tiga orang rakannya dan yang kedua saya mengambil sikap memuji tindakan polis kerana bertindak cepat.
"Ketiga saya minta pasukan polis tumpu kerja untuk bantu kurangkan kadar jenayah bukan jaga ahli politik. Polis harus periksa twitter saya.
"Saya katakan sebelum kes Datuk Sosilawati terdapat empat kes lain yang dilaporkan media yang serupa dengan pembunuhan Datuk Sosilawati. Persoalan yang saya bangkitkan mengapa kes itu tidak disiasat dengan begitu mendalam sebelum daripada kes ini dan saya baca juga laporan media mengenai kejadian jenayah disekitar kawasan pembunuhan Datuk Sosilawati," jelas beliau lagi.
Shamsul berkata beliau hanya menimbulkan persoalan sekiranya pasukan polis telah mengambil tindakan positif menyiasat dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kes dan kejadian yang berlaku sebelum sudah tentu pembunuhan Sosilawati tidak akan berlaku.
"Itulah jawapan kepada soalan wartawan yang bertanya kepada saya dan tidak ada kena mengena dengan tuduhan terhadap mana-mana anggota polis
"Saya mahu satu pasukan polis yang bekerja dengan sepenuh hati mereka untuk mereda atau merendahkan kadar jenayah di Malaysia.
"Saya ingin tegas saya tidak akan berhenti bercakap mengenai kebenaran, ini adalah berkaitan keadilan untuk Datuk sosilawati dan tiga yang lain dan kita tidak mahu kes seperti ini berlaku lagi di negara kita," ujar beliau.
Oleh Dzulkarnain Taib
Tiada ulasan:
Catat Ulasan