Pengikut

Isnin, 6 September 2010

Konsert Siti Nurhaliza secara percuma oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Kenyataan akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 6 September 2010

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengadakan konsert Siti Nurhaliza secara percuma sempena sambutan Hari Malaysia pada bulan ini. Dato' Siti Nurhaliza akan mengadakan persembahan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada malam 25 September 2010. Konsert berkenaan bertemakan “Menyambut Hari Malaysia Bersama Dato’ Siti Nurhaliza” akan dibiayai oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan tajaan swasta.

Oleh kerana tahun ini menjadi tahun pertama rakyat Malaysia menyambut penubuhan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan cuti kebangsaan, kerajaan negeri Pulau Pinang mahu meraikannya secara lebih bermakna dan senantiasa dalam ingatan yang mengembirakan. Dengan kehadiran penyanyi nombor satu negara dan penghibur antarabangsa, Dato Siti Nurhaliza, ia bukan sahaja menjadi masa yang tidak dapat dilupakan malah turut mengingatkan semua rakyat Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia amnya, bahawa kita semua terikat antara satu sama lain dalam satu keluarga dan satu takdir.

Rakyat Malaysia harus terus bersatu dan mengejar aspirasi kebenaran, keadilan, kebebasan, kebajikan untuk rakyat dan ketaqwaan kepada Tuhan yang menjurus kepada penubuhan Malaysia. Kita tidak seharusnya menyerah kepada kuasa jahat yang melampau, ketaksuban dan perkauman yang menjadi penyebab perpecahan antara kita dan menafikan peluang saksama untuk merealisasikan potensi sepenuhnya.

Hanya apabila kita membenarkan semua rakyat Malaysia mendapat hak, ruang dan lapangan sama rata untuk melakukan yang terbaik, barulah Malaysia boleh menjadi terunggul. Kita memerlukan lebih banyak bakat sumber manusia untuk memacu Malaysia ke hadapan. Jika kita mengguna pakai dasar-dasar yang meraikan kecemerlangan dan kemanusiaan, sama seperti Dato' Siti Nurhaliza, sesungguhnya, rakyat Malaysia bukan sekadar menjadi jaguh kampung, sebaliknya mampu melonjakkan diri sebagai jaguh dunia suatu hari nanti.

Konsert sulung oleh Dato' Siti Nurhaliza di Pulau Pinang akan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas. Konsert akan bermula jam 8 malam dan akan dihasilkan oleh Adelyn Lim dari Creativision.

Acara tersebut adalah percuma kepada semua rakyat Pulau Pinang dan dalam semangat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk datang ke Pulau Pinang bagi menghadiri konsert percuma ini. Mereka yang hadir hanya dikehendaki untuk membeli sebotol air mineral setiap seorang. Air mineral itu, Island Spring Water dihasilkan oleh PBAPP dan akan dijual pada harga RM1 sebotol untuk membantu kami dalam menentukan rekod kehadiran.

25 September 2010 akan menjadi malam untuk diingati bersama Dato' Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu-lagu popularnya di Pulau Pinang sempena sambutan Hari Malaysia.

LIM GUAN ENG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan