Pengikut

Rabu, 8 September 2010

Badan pantau kecewa puak Azmin guna pejabat ‘kempen awal’

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang baru ditubuhkan untuk memantau perjalanan pemilihan PKR kecewa kerana pihak-pihak yang menyokong Azmin Ali agar bertanding jawatan timbalan presiden menggunakan premis ibu pejabat bagi menyatakan pendirian mereka kelmarin.

Sehubungan itu, Ketua JPP Dr Molly Cheah berkata, individu atau kumpulan penyokong tidak boleh mengadakan sidang media atau mesyuarat di ibu pejabat parti untuk tujuan kempen.

“Malangnya sidang media untuk menyatakan sokongan ahli-ahli Parlimen kepada Azmin Ali dibuat di ibu pejabat parti tanpa pengetahuan pengurusan ibu pejabat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam dan kelmarin sekumpulan anggota Parlimen dan majoriti ADUN di Selangor dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada pencalonan Azmin bertanding kerusi nombor dua.

Kumpulan ahli-ahli Parlimen mengadakan sidang media di ibu pejabat PKR kelmarin.

Azmin beliau memberikan reaksi berhubung sokongan diberikan itu.

Kata beliau, proses penamaan calon bagi kepimpinan cabang sedang berlangsung manakala “kehangatan” mula disaksikan bagi pemilihan kepimpinan pusat, menyebabkan JPP terpaksa mengambil langkah untuk menekankan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

“Dakwaan politik wang dan kempen memburuk-burukkan (calon) mesti dilaporkan kepada JPP.

“Amalan politik wang adalah kesalahan yang sangat serius dan jika terbukti, boleh membawa kepada penggantungan daripada menyertai proses pilihan raya,” kata beliau.

Beliau juga berkata, kenyataan yang dibuat oleh calon-calon untuk mendapatkan sokongan tidak harus menjatuhkan imej parti atau menyebabkan kemudaratan kepada parti, sebaliknya perlu mengutamakan kepentingan parti berbanding manfaat diri.

“Kesemua aduan harus disalurkan kepada JPP, bukannya kepada media termasuk blog,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan