Soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat bukan soal senda gurau. Ia perkara serius dan meskipun kadangkala perbincangan mengenainya dirasakan sedikit sukar dengan angka-angka dan ‘istilah ekonomi’, namun perkara ini tetap harus menjadi perhatian semua, lebih-lebih lagi aktivis politik.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung jumlah pelaburan langsung asing (FDI) baru-baru ini mengejutkan. Ternyata, sejak tahun lalu, Malaysia kehilangan jumlah pelaburan asing yang besar sekali dan dikatakan paling teruk meski dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand.
Pelaburan Dunia 2010 PBB mencatatkan Malaysia kehilangan lebih RM19 bilion! Saya kira, jumlah terburuk sejak negara ini merdeka, lebih 50 tahun lalu. Dengan yang demikian, banyak industri dan perniagaan yang terjejas. Kesan langsung tentunya peluang pekerjaan juga tidak bertambah seiring dengan penambahan jumlah pekerja dalam negara.
Kita mulai ragu, sasaran pertumbuhan 5-6 peratus tahun ini juga hanya dakyah politik oleh Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri. Sehingga saat ini, tidak ada tanda-tanda di mana sasaran berkenaan dapat dicapai; sementara yang berlaku sebaliknya.
Maka tidak hairanlah bagaimana kerajaan terpaksa mencari helah mencabut subsidi, yang diistilahkan kononnya sebagai ‘penyusunan semula subsidi’ untuk mengaburi mata rakyat. Apapun istilahnya, dasar baru pemerintah itu menyebabkan peningkatan harga petrol dan gula baru-baru ini, sementara pada bila-bila masa akan menyusul pula peningkatan harga barangan harian lainnya, kesan daripada ‘penyusunan semula subsidi’.
Mustahil dan tidak masuk dek akal sama sekali selepas ini apabila harga bawang, lada, ikan dan susu, misalnya, tidak meningkat dengan peningkatan harga petrol sedangkan semua barangan berkenaan dibawa dengan kenderaan yang menggunakan petrol mahupun diesel.
Janji kerajaan untuk mengekang kenaikan barangan harian hanya untuk mententeramkan perasaan kita, walhal realiti hidup yang akan ditempoh rakyat jelata, semakin dan semakin memburuk.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang pekerja yang barangkali mempunyai keluarga dan tinggal di Kuala Lumpur dengan pendapatan di bawah RM1,500. Ditambah kalau ada isteri dan anak-anak, betapa sukar sekali kehidupan keluarga itu ketika ini. Lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan yang hanya beberapa bulan ke hadapan.
Elit politik yang berkuasa, termasuk menteri-menteri memang tidak terasa, malah mereka tidak pernah mengenal pun bau pasar basah di mana tempat membeli ikan.
Golongan pertama yang terasa bebannya tentulah rakyat biasa. Lalu tidak hairan jugalah tatkala rakyat semakin dihimpit kepayahan, elit politik yang berkuasa itu masih membebelkan isu politik dan perebutan kuasa.
Tentunya adalah sesuatu yang tidak manis sama sekali apabila kita saksikan semakin hari semakin keterlaluan pula mereka menyerang Negeri-negeri Pakatan Rakyat. Tidak ada dalam seminggu di mana empat negeri itu - sama ada Selangor, Pulau Pinang, Kedah mahupun Kelantan, yang tidak menjadi sasaran serangan mereka di media perdana.
Kalau di Selangor sekarang heboh isu kecurian pasir, ditunjukkan foto dalam media perdana kawasan kecurian itu berlubang sangat besar, hendak saya sebutkan, mustahil dalam tempoh pemerintahan Pakatan di Selangor yang tidak sampai tiga tahun, boleh berlubang sampai begitu.
Ia menjadi sebegitu teruk tak lain tak bukan akibat sudah dikorek sekian lama, jauh sebelum KEADILAN dan Pakatan memerintah Selangor. Ibarat pepatah lama, usahlah ‘menepuk air di dulang, nanti terpercik ke muka sendiri’!
Inilah bezanya antara ‘Kerajaan Rakyat’ dengan kerajaan yang semakin terbelit dengan rasuah, korupsi dan salah guna kuasa sehingga gagal mengurus ekonomi untuk kesejahteraan rakyat jelata. Yang kita bentangkan fakta; sementara nampaknya golongan elit yang penguasa serta kuncu-kuncunya terus asyik bermain di dalam kancah fitnah dan segala kata nista.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan