Pengikut

Selasa, 3 Ogos 2010

Kes Mahasiswa UKM 4 Disambung 28 September

Hakim Datuk Aziah Ali menetapkan 28 September depan sebagai tarikh keputusan kes permohonan perintah injunksi yang membabitkan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mencabar kewibawaan Seksyen 15 (5)(A) Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 yang dikenakan terhadap mereka.

Prosiding diadakan secara tertutup semalam di dalam kamar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas selepas ditangguhkan dari pukul 8.30 pagi kepada 3 petang bagi mendengar hujah pihak pembelaan, pendakwa raya kerajaan dan UKM.

Empat pelajar jurusan Sains Politik, iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai ditahan pada 22 April lalu dalam satu sekatan jalan raya berhubung tuduhan menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Peguam bela utama mereka, Malik Imtiaz Sarwar berkata, prosiding perbicaraan dalam kamar tersebut adalah bagi mendengar hujah pihaknya membantah Seksyen 15(5)(A) Auku yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Pihak pembelaan dalam hujah menegaskan bahawa seksyen tersebut bertentangan dengan Artikel 10(1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan berekspresi dan hak untuk melibatkan diri dalam mana-mana organisasi yang tidak bersalahan dengan proses demokratik," kata Malik kepada Suara Keadilan.

Malik memaklumkan, pihak pendakwaan mempertahankan akta tersebut dengan hujah adalah bukan sesuatu perkara yang pelik bagi Universiti untuk menghalang tindakan yang dianggap sah oleh Parlimen, seperti mana yang dikenakan ke atas empat pelajar terbabit.

Beliau turut menjelaskan pihak responden iaitu UKM dan kerajaan Malaysia merujuk kepada peristiwa demonstrasi pelajar pada tahun 1974 sebagai sandaran hujah tindakan halangan yang diambil adalah perlu bagi keharmonian negara.

Selain Malik, kumpulan pelajar itu juga diwakili peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah manakala pihak pendakwaan yang mewakili UKM diwakili oleh Datuk Shafie Abullah.

"Apa yang dapat dipastikan adalah, perbicaraan di mahkamah ini akan menentukan adakah Parlimen mempunyai kuasa yang luas untuk meminda akta (Auku) tersebut atau pun mahkamah mempunyai kuasa yang terhad berkenaannya. Kita tunggu 28 September nanti," kata Malik lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan