KARPAL Singh sekali lagi tidak bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Nik Aziz yang menyebut bahawa hukum hudud boleh mengatasi masalah zina dan membuang bayi. Baca Disini. Kenyataan Karpal Singh itu tidak memeranjatkan bahkan tidak memberi kesan langsung ke atas kemuliaan hukum Islam kerana Islam wajib ditegakkan oleh umat-umat Islam sendiri bukannya berpandukan kepada penganut ugama lain.
Seandainya Karpal Singh seorang Muslim, sudah tentu kenyataannya itu boleh merosakkan akidah sepertimana terdapat beberapa pemimpin Melayu berugama Islam yang sejak dari dulu tidak bersetuju hudud dilaksanakan. Karpal berhujah dengan berpandukan Perlembagaan sekarang yang diasaskan oleh Lord Reid dan tentunya hujah Karpal Singh itu ada benarnya selagi Perlembagaan tidak berubah. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam samada dari PAS mahu pun Umno dan kesemuanya untuk memilih parti yang boleh menegakkan Islam di negara ini dengan mengubah Perlembagaan yang berasaskan sekular kepada Perlembagaan berasaskan Al-Quran dan Hadith.
Dalam aspek ini, parti manakah yang boleh diharap untuk berbuat demikian? Umno sudah semestinya tidak mampu melakukannya kerana sudah 50 tahun Umno berkuasa, Perlembagaan masih lagi tidak berubah bahkan tidak pernah diusulkan di dalam Parlimen untuk mengubahnya. Sekiranya Perlembagaan berubah kepada yang berasaskan Al-Quran dan Hadith, mungkin suara Karpal Singh tidak seperti sekarang. Ini adalah kerana beliau menentang hudud bukan kerana hukum hudud itu tidak praktikal tetapi adalah kerana perlaksanaannya tidak boleh dilakukan mengikut Perlembagaan yang sedia ada sekarang.
Karpal Singh hanya tidak bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Nik Aziz dan beliau tidak boleh dianggap menghina Islam. Mereka yang menghina Islam itu adalah mereka yang berugama Islam dan mempunyai kuasa eksekutif tetapi tidak berbuat demikian. Siapakah yang sedang berkuasa penuh sekarang? Mereka ini berkuasa kerana ada yang menyokongnya dan yang menyokong puak-puak ini mempunyai saham besar di dalam menggagalkan perlaksanaan hukum Islam di negara ini.
Tidak pelik jika Umno akan menggunakan kenyataan Karpal Singh ini untuk menunjukkan betapa PAS tidak boleh berbaik dengan DAP. Apakah jika PAS berbaik dengan Umno maka ada jaminan Islam akan ditegakkan secara syumul di negara ini? Jawapannya sudah pasti tidak, kerana Islam bukanlah cita-cita Umno sejak `azali' lagi.
Oleh: WFAUZDIN NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan