Pengikut

Ahad, 29 Ogos 2010

Halang bukan Islam masuk masjid canggah fatwa

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid atau surau bertentangan dengan semangat keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dicapai awal tahun ini.
Fatwa itu memutuskan pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat telah ditentukan.

PKR mengeluarkan kenyataan ini ketika pemimpin mereka, Bendahari William Leong yang juga Ahli Parlimen Selayang pula menjadi serangan atas alasan memasuki Masjid At-Taqwa di Selayang Baru.

Pertengahan minggu lalu, Ahli Parlimen DAP Serdang Teo Nie Ching menjadi tumpuan kontroversi selepas berucap di Surau Al-Huda, Kajang.

“Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain.

“Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan PKR, Dr Muhd Nur Manuty hari ini.

Hakikatnya, menurut beliau, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

“Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya.

“Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, sewajarnya wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) diberikan pujian kerana kesungguhan mereka dalam menjalankan tugas dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini.

“Apatah lagi ia memang telah pun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil kerajaan negeri Selangor.

“Kekecohan yang digembar-gemburkan hakikatnya akan memakan tuan,” kata beliau sambil menambah, ia juga satu gambaran kegagalan Umno selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam.

“Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu.

“Lebih menghinakan apabila berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan,” katanya.

Muhd Nur menambah, pihaknya sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala Umno.

“Ini akan menjadikan kita semakin lesu dan masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita.

“Yakinlah bahawa, kerja mereka ini akan menjadi sia-sia seperti mencari umbut dalam batu.

“Hakikatnya, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan,” katanya.

Jelas beliau, itulah menjadi keyakinan PR kerana Islam itu tinggi dan merupakan agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

Kata beliau, bagaikan menahan lukah di pergentingan, Umno dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka.

“Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, Umno dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya malam tadi, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat surau itu yang terletak di Kajang Sental.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya.

Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan