Pengikut

Selasa, 27 Julai 2010

‘Gantung’ permit terbitan PKR, DAP bukti BN rasa tak selamat

Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri menahan daripada memperbaharui permit Suara Keadilan dan Rocket didakwa berhubung kait dengan kebimbangan kritikal Umno-BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.

Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Tarmizi Mohd Jam berkata jika Umno-BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu ‘penggantungan’ permit dua lidah rasmi PKR dan DAP itu tidak diambil, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.

Kata beliau, tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej Umno-BN yang menguasai kerajaan dan sekali gus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat.

Mengapa Umno-BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar kepercayaan rakyat jika tidak kerana mereka benar-benar dalam keadaan terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan maklumat berani, telus dan bersifat reformasi.

KAMI yakin kekangan terhadap media cetak sejak muktahir ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan Umno-BN sebagai langkah mengurangkan fakta tepat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan menghakis pengaruh Umno-BN,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya lagi, sebagai persediaan nekad menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakata Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan Umno-BN terpaksa bertindak ‘membunuh’ suara rakyat melalui dua lidah rasmi ini kerana ia menjadi perhatain rakyat.

Mustahil jika Suara Keadilan dan Rocket tidak berbisa, permitnya ditahan. Ini tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional KDN.

Sebaliknya amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan dibesarkan perkataan “Hanya Untuk Ahli Sahaja” jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” katanya.

Ketiga-tiga penerbitan itu menghadapi masalah yang hampir sama, bagaimanapun Harakah telah menerima permit semula dua minggu lalu.

Suara Keadilan kini diterbitkan di bawah status tidak berkala dengan tiga edisi setakat ini, di bawah nama Keadilan, Obor Keadilan dan Sinar Keadilan.

Tarmizi berkata, KAMI terus mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Rocket kepada parti-parti berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah.

Sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warganegara dalam menegaskan suara mereka. Tindakan tidak memberikan permit bermakna kerajaan ‘menggam’ mulut rakyat, memaku minda dan mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak,” katanya.

Berbanding penguasaan Umno-BN terhadap media tradisi, kekangan KDN terhadap Suara Kedailan, Rocket dan Harakah boleh digambarkan sebagai tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan Umno-BN hilangnya segenggam kuasa yang membukitkan kekayaan kepada pemimpin dan kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman, kata Tarmizi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan