Kedutaan Amerika Syarikat memberi jaminan bahawa memorandum mengutuk serangan Israel terhadap flotila pro-Palestin Isnin lalu akan dimajukan kepada pihak Washington minggu depan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya selepas mengetuai beberapa pimpinan Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada kedutaan itu di ibu negera petang ini.
Turut bersama dengan Anwar yang juga ketua pembangkang termasuk Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan tokoh veteran DAP Lim Kit Siang kira-kira jam 3.10 petang.
Memorandum empat halaman kepada Presiden Barrack Obama itu antara lain menuntut Amerika Syarikat mengambil ketetapan yang jelas terhadap keganasan tentera Yahudi, sekali gus menamatkan sekatan terhadap Semenanjung Gaza.
Memorandum yang mewakili 27 kumpulan NGO dan parti politik pembangkang itu juga mendesak agar satu badan bebas bawah seliaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan untuk menjalankan inkuiri terhadap peristiwa 31 Mei lalu.
Selain itu, Anwar juga menegaskan sambutan ribuan rakyat pada hari ini begitu hebat dalam menentang kezaliman.
"Saudara-saudara adalah pahlawan rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.
Katanya beliau diterima masuk bersama pimpinan Pakatan yang lain turut menjelaskan bahawa mereka mengutuk tindakan Israel tanpa tolak ansur.
"Amerika telah berlembut menyebabkan (terjadi) keganasan Israel,"katanya yang disambut dengan tepukan.
Manakala Lim yang berucap selepas ketua pembangkang itu turut menuntut rakyat bersatu melawan kezaliman Israel.
"Kita bersatu padu tak kira kaum, agama dan parti politik. Kita akan berjuang sehingga keadilan berjaya ditegakkan (di Palestin)," katanya yang juga ahli parlimen Ipoh Timur.
Sementara Nasharuddin pula berkata rakyat Malaysia hari ini menghantar satu mesej yang jelas kepada Washington dan Tel Aviv bahawa pelbagai pihak bersatu mengutuk serangan Israel.
Nasharuddin kemudiannya menutup ucapan dengan membaca doa dan diiringi dengan ucapan takbir sebanyak tiga kali sebelum perhimpunan disuraikan.
Gambar Oleh MediaRakyat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan