Pengikut

Sabtu, 15 Mei 2010

Kepercayaan Kepada Tuhan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN adalah merupakan prinsip pertama dalam RUKUN NEGARA. Prinsip ini telah digariskan oleh pemimpin terdahulu untuk menjadi pegangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya tanpa mengira batasan kaum dan agama. Dan setiap pemimpin kaum pun telah sama-sama bersetuju tentang prinsip tersebut. Biar apapun pegangan agama mereka, yang penting mereka harus ada pegangan agama dan benar-benar memahami ajaran agama masing-masing.

Malangnya pada hari ini prinsip KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN sudah seumpama ditong sampahkan. Atas dasar perpaduan, penganut-penganut setiap agama sudah menggadaikan prinsip agama masing-masing. Yang Islam sudah menggadaikan prinsip Islamnya, yang Buddha tak faham ajaran Buddha yang sebenar, yang Hindu tidak pernah membaca kitab-kitabnya dan yang Kristian tidak pernah mengamalkan ajaran Kristian.

Apabila prinsip agama masing-masing telah diketepikan, maka perpaduan dicernakan menurut kepala otak dan nafsu semata-mata. Justeru itu perpaduan yang diikat sekadar elok nampak di luar tetapi busuk di dalam. Kaum Melayu masih ada perasaan tidak percaya kepada kaum lain, kaum Cina merasa kebimbangan terhadap kaum lain, kaum India terasa disisihkan oleh kaum lain.

Oleh itu apabila ada percikan api perkauman maka ianya mudah disambut oleh kaum-kaum yang ada di Malaysia. Malahan kaum ketiga kelihatan seperti tersenyum bila dua kaum berlaku konflik.

Perpaduan yang dibina sekadar berganding bahu dan mengibarkan bendera sewaktu menyambut Hari Kebangsaan semata-mata tidak akan membawa perpaduan yang utuh. Setakat tinggal sebilik, main sepermainan, tidur sebantal, makan sepinggan, belajar sekelas dan kongsi raya belum tentu dapat mengikis perasaan syak wasangka selagi persatuan yang bersifat perkauman masih mendendangkan lagu-lagu kepentingan kaum masing-masing. Dan lagu inilah yang sentiasa dimainkan oleh ahli-ahli politik untuk memastikan kedudukannya dalam politik kekal abadi.

Hanya dengan kembali kepada ajaran agama masing-masing, perpaduan yang disemai akan lebih kukuh. Tidak ada sesuatu ajaran agama itu yang menyuruh penganutnya membenci penganut agama lain. Jika ada ulama yang menyuruh membunuh penganut agama lain, ulama tersebut tidak mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar. Jika ada paderi yang memerintahkan supaya tempat ibadat penganut lain dibakar, paderi tersebut tidak memahami ajaran Kristian yang sebenar. Jika ada tok sami Buddha yang menyuruh memusuhi penganut agama lain, tok sami Buddha tersebut jahil tentang ajaran Buddha. Jika ada tok sami Hindu yang menyuruh membenci penganut agama lain, tok sami Hindu tersebut tidak mempelajari agama Hindu yang sebenar.
Oleh itu setiap penganut sesuatu agama perlu kembali kepada ajaran agama menurut kitab-kitab masing-masing. Bukan sekadar mendengar dari mulut ulama, paderi dan tok sami semata-mata tetapi perlu ditunjukkan bukti dari dalam kitab. Orang Islam wajib kembali kepada ajaran Al-Quran. Orang Kristian perlu kembali kepada ajaran Bible. Orang india mesti kembali kepada ajaran Brahma Sutra dan kitab-kitab mereka yang lain dan orang Buddha harus kembali kepada ajaranConfucious dan sebagainya.

Dahulu ada usaha daripada Menteri Besar Kelantan untuk mengajak ulama, paderi dan tok-tok sami bersemuka untuk mengetahui hukum-hukum menurut kitab masing-masing supaya suatu undang-undang dapat dibuat menurut kitab masing-masing, tetapi usaha tersebut dihalang oleh kerajaan pusat atas dasar perpaduan.

Adakah orang Islam akan mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan kepada orang Islam menurut kitab orang Islam? Adakah orang Kristian akan menolak hukuman yang ditentukan kepada orang Kristian oleh kitab orang Kristian? Adakah orang Buddha akan membantah hukuman yang dijatuhkan kepada orang Buddha menurut kitab orang Buddha? Adakah orang Hindu akan memprotes hukuman yang ditentukan kepada orang Hindu oleh kitab agama Hindu?

Jika ada penganut sesuatu agama yang masih meragui hukuman yang telah ditentukan oleh kitabnya, apa perlu dia masih mau menganut ajaran agama tersebut? Ada orang Islam masih mahu menjadi Islam tetapi ajaran Islam dikesampingkan. Ada orang Kristian masih mahu mengaku agama Kristian tetapi ajaran Kristian tidak pernah diambil peduli. Ada orang Buddha masih mahu menjadi penganut Buddha sedangkan ajaran Buddha dipandang sepi. Ada orang Hindu masih anggap dirinya Hindu sedangkan ajaran Hindu tidak dipandangnya.

Kesimpulannya, kebanyakan rakyat Malaysia adalah golongan atheis. Simbol sahaja Islam, Kristian, Buddha dan Hindu tetapi ajaran kitab agama masing-masing tidak dihiraukan lagi. Kerajaan Malaysia perlu menyemarakkan kembali prinsip KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN jika mahu perpaduan yang sejati. Golongan atheis tidak harus diberi tempat di Malaysia kerana dia telah menyalahi prinsip RUKUN NEGARA. Mereka ini perlu dihukum.

Waalahu'Alam

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi
(segala yg baik itu dari Allah dan yg buruk itu dari diriku.)

-AmirDarkJustice

Tiada ulasan:

Catat Ulasan